Pulih tanah terbiar di Kelantan perlu bantuan Kerajaan

Shaari Mat Yaman (kiri) menyeru bantuan Kerajaan Persekutuan bagi memulihkan tanah terbiar di Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan serius termasuk membantu kerajaan-kerajaan negeri memulihkan tanah terbiar bagi meningkatkan pengeluaran beras negra.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, keupayaan kerajaan negeri termasuk Kelantan bagi memulihkan tanah-tanah terbiar agak terhad kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

- Advertisement -

Menurutnya, usaha itu sudah berpuluh tahun dilaksanakan di Kelantan, namun dengan kemampuan kewangan terbatas, program pemulihan tanah terbiar agak terhad. 

“Sedangkan negara kita mempunyai banyak kawasan terbiar yang boleh dimajukan dengan tanaman padi bagi menampung keperluan beras negara. 

“Kelantan dan Kedah mempunyai kawasan sawah yang luas wajar diberi perhatian kerajaan Pusat untuk mengurangkan penggantungan kepada beras import,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan harga beras import pasaran runcit tempatan dijangka meningkat sehingga RM7 sekampit bagi bungkusan 10 kilogram ekoran penyelarasan harga pada Jumaat lepas.

Terdahulu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam kenyataan menjelaskan penyelarasan harga perlu dibuat kerana harga beras import meningkat.

Bernas menyelaraskan harga jualan beras putih import di seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan.

Ia sejajar harga terkini di pasaran antarabangsa yang tidak menentu disebabkan perubahan iklim, kadar pertukaran wang asing lemah, kos operasi tinggi dan konflik serantau.

Situasi itu malah bertambah buruk apabila beberapa negara pengeksport termasuk India, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Pakistan dan Thailand menghadkan pengeksportan beras.

“Penduduk Kelantan kurang terkesan dengan peningkatan harga beras import memandangkan pengeluaran beras tempatan melebihi permintaan tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY  6/9/2023

- Advertisement -