Gelombang hijau atau gelombang integriti?

- Advertisement -

BARU-baru ini Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh bersama rakan-rakan dari PH bertekad memastikan ‘gelombang biru-merah’ yang merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan membenam ‘gelombang hijau’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Tidak dapat dinafikan bahawa Johor merupakan kubu kuat Umno suatu ketika dahulu dan di peringkat Parlimen, PH menguasai 15 kerusi, BN 9 dan PN 2 kerusi. Namun, jika kita perhatikan dalam siri PRN 6 negeri baru-baru ini, walaupun gabungan PH dan BN berjaya mengekalkan pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, gabungan tersebut mencatatkan defisit di kesemua negeri yang dipertandingkan. Mengambil contoh negeri Selangor, gabungan itu gagal mengekalkan majoriti dua pertiga dengan memenangi hanya 34 kerusi berbanding 51 kerusi yang dimenanginya pada PRU-14 yang lalu. Malahan, PERIKATAN NASIONAL mencatatkan peningkatan di Pulau Pinang dari 1 kerusi kepada 11 kerusi, dan Negeri Sembilan memperolehi 5 kerusi berbanding tiada kerusi sebelum ini.

Arus penolakan kepada BN-PH ini berlaku berikutan kemarahan rakyat selepas ditipu oleh PH dan BN dalam PRU15. Ketika itu, PH menafikan mahu bekerjasama dengan BN atas beberapa isu integriti namun bertindak sebaliknya. Berdasarkan kepada tindakan tersebut, rakyat kini melihat PERIKATAN NASIONAL sebagai satu alternatif yang mampu membawa nilai integriti. Tanpa menafikan faktor ‘aura’ Sanusi yang membawa impak kepada sokongan rakyat, rakyat sendiri menilai PN lebih berintegriti selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta. Ini memberi gambaran jelas bahawa apa yang berlaku bukanlah satu ‘gelombang hijau Melayu ekstremis’ seperti yang didakwa Ketua Pemuda Umno itu, tetapi lebih berpaksikan rakyat memilih integriti.

Arus ini dilihat semakin kuat apabila Kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan buat wakil-wakil Parlimen pembangkang yang dipilih rakyat November lalu. Berbeza pula apabila Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedah di bawah pentadbiran PAS-PN mengumumkan akan memberi peruntukan seimbang ke wakil-wakil pembangkang negeri (kecuali Terengganu sifar pembangkang). Rakyat kini boleh menilai bahawa pendekatan yang dibawa oleh PN adalah lebih matang dan menguntungkan rakyat.

Penguncupan undi PH-BN dalam PRN 6 negeri tersebut memberi gambaran bahawa gelombang biru-merah ini sebenarnya bukanlah satu gelombang sebaliknya respons dan gimik kepada peralihan undi dalam gabungan sahaja.

Menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata walaupun faktor demografik bagi kedua kerusi tersebut yang lebih didominasi pengundi bukan-Melayu memberi kelebihan buat blok perpaduan, namun kadar keluar mengundi akan memainkan peranan besar. Perlu diingatkan bahawa Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram baru sahaja melalui pilihan raya pada November tahun lalu, di mana kita menyaksikan pertembungan tiga penjuru di Pulai dan empat penjuru di Simpang Jeram.

Akar umbi Umno dilihat tidak dapat menerima hakikat mereka diketepikan oleh gabungan PH-BN yang menamakan calon daripada parti PAN dalam pilihan raya kali ini. Ini akan sedikit sebanyak memberikan ‘vote transferability’ atau peralihan dari BN ke PN akibat protes dalam gabungan itu.

Ini hakikat yang perlu diterima oleh pimpinan gabungan PH-BN, bahawa gelombang ini berlaku bukanlah kerana sokongan kepada Melayu-Muslim semata-mata, tetapi kerana rakyat menilai bahawa gabungan PH-BN tidak lagi mampu mencapai titik reformasi dan integriti yang dijanjikan suatu ketika dahulu. Secara tidak langsung, apa yang berlaku sebenarnya bukanlah ‘gelombang hijau’ vs ‘gelombang biru-merah’, tetapi gelombang integriti vs gelombang retorik.

MOHAMAD IZZAT TUAN IBRAHIM
Penyelidik Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 6/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -