Sejauh mana ‘negara sekular’ boleh dipercayai?

- Advertisement -

DAP adalah parti dominan dalam kerajaan. Sudah pasti perjuangannya diberi keutamaan. Sejak dahulu, sehingga kini DAP konsisten memperjuangkan negara demokrasi sekular [1].

Kita perlu jelas, negara sekular ini secara teorinya memberi hak sama rata kepada semua agama [2]. Kononnya begitu.

Dengan kata lain, Islam tidak wajar ditinggikan menjadi sistem atau perundangan. Akan tetapi Islam itu cukup sekadar diletakkan sebaris dengan agama-agama lain.

Dalam masa yang sama, aliran Moderate Muslim pula memperjuangkan perkara yang sama. 

Walaupun mereka itu Muslim, tetapi mereka menilai Islam itu sekadar pada nilai akhlak murni yang boleh diterima oleh demokrasi, tidak pada sistem negara [3].

Sebab itu tak pelik kalau Moderate Muslim boleh sekapal dengan DAP. 

Siapakah saingan mereka?

Mereka bersaing dengan Fundamentalisme, yang memperjuangkan Islam sebagai sebuah negara. Di sinilah letaknya perjuangan PAS. 

Cuma, ada yang gunakan istilah Islam politik, dan ada juga di kalangan mereka yang melabel gerakan ini sebagai Islam radikal. 

Cuma, yang sering didialogkan ialah sejauh PAS boleh memimpin negara? Cabaran ini dilontarkan dan menjadi modal para pengkritiknya.

Antara yang menjadi modal yang sering diulang-ulang ialah isu air di Kelantan. Sekalipun sudah diberi penjelasan ratusan kali, ia tetap dipropagandakan.

DAP pula berhadapan dengan kritikan sejauh mana mereka melaksanakan slogan mereka untuk memperjuangkan hak sama rata dan peluang. 

Apa yang dilihat, lebih kepada menjaga kepentingan golongan tertentu di kalangan mereka sahaja. Isu banglo, isu terowong dan pelbagai lagi.

Begitu juga PKR yang selama ini bercakap isu ketelusan dan tatakelola, pastinya berhadapan dengan kritikan terhadap isu DS Zahid Hamidi.

Jadi, realiti yang kita lihat selama ini, adakah Negara Sekular yang sedang diperjuangkan itu benar-benar menjamin kesejahteraan atau sekadar sembang kari?

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 5/9/2023

Rujukan:

[1] Loke Siew Fook, Vincent Wu, Hew Kuan Yau dan Wong Shu Qi, 2010, Mengenali DAP, Kuala Lumpur : Jabatan Pendidikan Politik Parti Tindakan Rakyat, halaman 11.

[2] Muhd Irham Abdul Aziz, Muhamad Takiyuddin Islam dan Aizul Fahmi Abdullah, 2018, Projek Pascaetnik Melayu Dalam DAP, UKM Press, halaman 148.

[3] Angel Rabasa, Cheryl Benard, Lowell H. Schwartz dan Peter Sickle, 2007, Building Moderate Muslim Networks, RAND Corp, halaman 66-67.

- Advertisement -
- Advertisement -