‘Insya-Allah PERIKATAN NASIONAL akan kembali berkuasa’

Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkatakan sesuatu kepada Dr Mazri Yahya pada majlis Ceramah Mega sempena PRK Simpang Jeram di Markas PAS Bakri, malam tadi.
- Advertisement -

MUAR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para pengundi agar keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai bagi menyekat Kerajaan PH-BN daripada memperolehi majoriti dua pertiga.

- Advertisement -

Tambah beliau, ini penting demi untuk memastikan PH-BN tidak dapat melakukan pindaan dalam Perlembagaan yang boleh merugikan orang Melayu Islam.

“Jadi oleh sebab itu penting bagi kita menentukan dalam PRU, dalam PRN dan sekarang dalam PRK supaya kita kembalikan semula hak dan kuasa orang Melayu untuk mentadbirkan negara dan memberikan sokongan kita yang padu kepada calon PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya semasa berucap pada majlis Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL sempena PRK Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini, malam tadi.

Menurutnya, apa yang penting ialah bagaimana untuk mengembalikan kuasa untuk menguruskan negara dan kerajaan untuk kembali semula kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Kalau tidak ada usaha dibuat macam yang kita lihat pada hari ini untuk meletakkan Dr Mazri kita sebagai wakil kita dalam Dewan Undangan Negeri dan meletakkan saudara Zulkifli Jaafar di Pulai untuk masuk ke Parlimen.

“Dan menyekat pihak kerajaan yang ada pada hari ini memiliki dua pertiga kuasa di dalam parlimen yang dengan sebab itu membolehkan dia meminda Perlembagaan negara,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, kerajaan PH-BN yang ada sekarang ini mendakwa bahawa mereka adalah ‘Kerajaan Perpaduan’ namun apa yang dilihat oleh rakyat tidak seperti yang mereka dakwa.

“Benarkah ia sebuah Kerajaan Perpaduan? Nampak zahir berpadu, tapi sebenarnya tidak berpadu. Nampak zahirnya bersatu tetapi sebenarnya tidak Bersatu kerana di kalangan mereka yang menubuhkan gabungan Kerajaan Perpaduan itu mempunyai ideologi pandangan dan juga cara gaya politik yang agak berbeza, macam Umno-BN dengan DAP,” ujarnya.

Mengulas PERIKATAN NASIONAL tidak dapat membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun pada awalnya sudah berjaya memperolehi 115 kerusi, beliau menyifatkan itu sebagai kemenangan yang tertangguh.

“Agaknya itu kemenangan yang dikatakan kemenangan yang tertangguh. Bila tangguh tu akan tiba waktu dan masanya, insya-Allah PERIKATAN NASIONAL akan balik kembali berkuasa untuk mentadbir negara dan menjaga nasib orang-orang Melayu Islam dan bukan Islam di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2023

- Advertisement -