SETELAH keputusan PRU Negeri bagi enam buah negeri di Malaysia baru-baru ini diwartakan, kita masih lagi didendangkan dengan cerita perihal sekatan oleh PH kepada pembangkang. Di saat PH mahukan negara diperintah dengan aman, tanpa ugutan atau langkah-langkah yang boleh menumbangkan kerajaan mereka, mereka pula tanpa segan, tidak beradab, mahupun bertamadun dengan jelas menyatakan akan menyekat peruntukan kepada kawasan yang rakyatnya memilih calon pembangkang, walaupun pilihan rakyat itu menurut lunas Perlembagaan Malaysia yang mereka seru untuk dipertahankan.
PH jelas tidak dapat menerima keputusan rakyat yang hampir sahaja berjaya merampas tiga buah lagi negeri milik mereka dengan PH kehilangan kerusi yang besar. Dua negeri, Selangor yang kehilangan majoriti dua pertiga dan Pulau Pinang yang menyaksikan kebangkitan pengundi Melayu Islam yang telah memberikan kemenangan sebanyak 11 kerusi di sana. Namun jelas sikap angkuh masih bersarang dalam minda pimpinan PH dengan mereka secara jelas mengumumkan tidak akan memberikan peruntukan yang sama banyak kepada pembangkang.
Perbezaan yang jelas dapat dilihat dengan sikap mulia pemimpin PAS di tiga buah negeri yang dikuasai oleh PN, Kelantan, Kedah dan juga Perlis yang sedari awal lagi telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan memberikan peruntukan yang sama banyak kepada wakil pembangkang (Terengganu tiada pembangkang) kerana menghormati pilihan rakyat di kawasan itu yang memilih calon yang mereka rasakan sesuai. Sikap ini adalah asas kepada kebenaran.
Di dalam mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, wang rakyat adalah untuk rakyat disalurkan kepada wakil yang dipilih secara sah oleh rakyat. Belum puas dengan itu, Rafizi Ramli pula mengeluarkan kenyataan politik yang menjengkelkan telinga rakyat kerana dendam yang tiada berpenghujung. Lalu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bingkas menepis kenyataan itu dengan sanggup menjadi galang ganti kepada rakyat, untuk dendam PH itu. Biarlah beliau sahaja dihukum, bukan rakyat.
Dalam sistem pemerintahan Islam pula, jelas dinyatakan adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ia lebih dekat dengan takwa. Orang yang lemah akan dibantu tidak kira siapa mereka. Tidaklah ia menjadi kepelikan kerana golongan yang memusuhi Islam, akan sedaya upaya tidak mahu menurut keadilan Islam yang berlawan dengan nafsu mereka, tetapi akan mengikut kehendak nafsu mereka, walaupun bertentangan dengan kehendak Islam. Begitulah ia berpusing, semenjak zaman dahulu sehingga sekarang, akan ada pemegang watak jahat ini. Semakin sesuatu itu berpihak kepada mereka, maka dikata semakin adillah perjanjian itu.
Dalam peristiwa Sulh Hudaibiyyah, telah diriwayatkan oleh sejarah bahawa Suhail bin Amru, salah seorang wakil Musyrikin Makkah, telah merasakan dirinya berjaya memperbodohkan Rasulullah dan rombongan Baginda. Perjanjian yang dilihat berat sebelah itu, diterima sepenuhnya oleh Rasulullah walaupun mendapat tentangan daripada Sahabat yang masih gagal memahami kehendak Rasulullah. Tiada gelaran Rasulullah pada nama Muhammad, mesti dikembalikan ke Makkah orang yang lari ke Madinah, tidak akan diserahkan kembali kepada Madinah orang yang lari ke Makkah serta umrah tidak dibenarkan pada tahun itu.
Begitu kecewa perasaan umat Islam waktu itu melihat kepada keputusan perjanjian yang berat sebelah itu. Namun, akhirnya mereka bergembira apabila ada orang Makkah, lari ke Madinah yang dipaksa kembali ke Makkah, akhirnya membunuh wakil Makkah dan tinggal bersembunyi di laluan perdagangan dan mengganggu kabilah perniagaan dari Makkah. Mereka tidak mengganggu Madinah kerana Madinah bersikap adil. Peniaga Makkah yang merana kerana rompakan yang dilakukan oleh ‘orang buangan’ Madinah itu adalah atas dasar yang dipersetujui oleh perjanjian itu.
Musyrikin Makkah mengadakan perjanjian dengan Bani Bakr yang berperangai jahat, sementara Madinah bersekutu dengan kabilah Khuza’ah yang mempunyai jiwa yang baik kerana keadilan Islam itu. Maka apabila berlakunya pembunuhan terhadap Bani Khuza’ah oleh Bani Bakr, Musyrikin Makkah menjadi takut kerana janji mereka telah mungkiri dan akan menghadapi perperangan dengan Madinah yang mereka juga tahu Rasulullah mempunyai kekuatan tentera yang besar setelah beberapa siri peperangan, gagal Musyrikin menangi. Dan mereka menerima akibat yang sangat buruk, Makkah jatuh ke tangan Rasulullah. Bahkan seluruh kawasan penduduk Makkah memeluk Islam. Tidak lama selepas itu Thaif dan Hunain juga ditawan.
Iktibar daripada Peristiwa Sulh Hudaibiyyah ini adalah, golongan yang adil akan pasti bersama Allah di jalan yang benar. Golongan yang zalim, jahat, penipu tidak akan dapat bersama dengan kumpulan yang menuruti kehendak Allah, ini adalah pasti, tidak akan bercampur golongan ini. Maka wajib kita kekal atas sifat keadilan yang Allah serukan kepada hamba-Nya. Hanya masa akan menjadi saksi, satu demi satu kezaliman akan dipecahkan oleh keadilan. Waktu itu akan berpecahlah mereka yang zalim dan akan diperkukuhkan lagi oleh Allah hati-hati orang yang adil dan bertakwa.
Janganlah kita takut dengan ugutan mereka yang zalim ini. Semua harta, kuasa dan kekuatan mereka berada dalam genggaman Allah, mereka hanya peminjam. Allah jugalah yang akan menaik dan menjatuhkan sesiapa yang Dia kehendaki. Fitrah manusia mahukan keadilan dan kebaikan. Hati mereka akan terpaut dengan kebaikan kita dan akan bersama-sama kita memperjuangkan apa yang Allah mahukan. Insya-Allah, kita akan menyaksikan kejatuhan mereka dengan keputusan zalim mereka itu, sebagaimana Sulh Hudaibiyyah yang begitu banyak memberikan pengajaran politik kepada umat Islam.
Arrhh aku lalu teringat ungkapan yang sesat mengatakan kafir yang amanah lebih baik dari Muslim yang korup. Tetapi jika kafir yang korup pula, bagaimana kedudukan mereka?
MOHD NASIR ABDULLAH
4 September 2023 – HARAKAHDAILY 4/9/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Sekatan dan iktibar Hudaibiyyah
- Advertisement -