SKMM harus berhenti bertindak sebagai ‘big brother’

- Advertisement -

KAMI sama sekali tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai ‘big brother’ (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian. 

Kami bimbang sejak akhir-akhir ini pengamal media telah dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian mereka.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.

Kita telah melihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali.

Kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media.

Aduan daripada para pengamal media bahawa laman web mereka telah disekat semakin meningkat. Ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta merta. 

Kami percaya bahawa badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan yang lain, dan oleh itu, menyekat laman web bukanlah salah satu daripadanya.

Walaupun kami memahami internet telah menjadi pencetus kebencian dan penyebab maklumat yang salah namun kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika.

Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu (fake news) sudah sampai pada tahap krisis.

Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih.

TAN SRI JOHAN JAAFFAR
DATUK A KADIR JASIN
DATUK HUSSAMUDDIN YAACOB
DATUK SERI AZMAN UJANG
DATUK DR CHAMIL WARIYA
DATUK YONG SOO HEONG
DATUK ZAKARIA WAHAB
DR G MANIMARAN – HARAKAHDAILY 1/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -