‘Kita tahu doktor sangat dekat di hati rakyat’

Dr Mazri (tengah) pada aktiviti santai petang di warung goreng pisang Kampung Parit Ulu, Bakri.
- Advertisement -

MUAR: Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihahtussolehah Ahmad bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada PAS Pusat dan Johor yang menamakan Dr Mazri Yahya sebagai calon di DUN Simpang Jeram.

- Advertisement -

Beliau berkata, Dr Mazri mempunyai kemahiran dalam pembedahan vaskular yang hanya ada dua orang pakar sahaja di negeri Johor.

Adun Bota itu berkata, Dr Mazri mempunyai kepakaran untuk membantu pesakit-pesakit yang hendak membuat dialisis yang memerlukan tapak.

“Syabas kepada PAS negeri Johor yang telah menamakan Dr Mazri sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September nanti,” ujarnya ketika ditemui mengiringi isteri calon, Dr Rosilawati Md Nor di Hospital Sultanah Fatimah.

Najihahtussolehah yang juga doktor perubatan berharap masyarakat di Simpang Jeram dapat membuat pilihan yang terbaik mengundi Dr Mazri sebagai wakil rakyat mereka.

“Kita tahu bahawa seorang doktor itu sangat dekat di hati rakyat.

“Pengundi di Simpang Jeram turunlah beramai-ramai pada 9 September ambil peluang untuk mengundi calon nombor satu sebagai pilihan pengundi Simpang Jeram,” katanya.

Tambahnya, dengan pemilihan Dr Mazri yang juga Pakar Perunding Pembedahan Am, Vaskular dan Endovaskular sebagai calon PERIKATAN NASIONAL DUN Simpang Jeram membuktikan bahawa PAS bukan parti golongan pak lebai.

Menurut beliau secara tidak langsung ia telah menafikan tohmahan bukan sahaja daripada parti lawan tetapi masyarakat bahawa PAS hanya sesuai untuk golongan pak lebai seperti pelajar lepasan pondok, golongan ustazah dan para ustaz.

“Alhamdulillah… kali ini kita telah membuktikan PAS bukan parti pak lebai kerana mempunyai seorang pakar vascular,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2023

- Advertisement -