PN optimis tarik sokongan non-Muslim, ‘silent protest’

Normala Sudirman
- Advertisement -

MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya dijangka akan mendapat lonjakan momentum daripada pengundi.

- Advertisement -

Ketua Penyelaras lantikan Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPrN) Unit Daerah Mengundi (UDM) Seri Tanjong, Normala Sudirman berkata, sokongan itu termasuk daripada kalangan ‘non-Muslim’ serta golongan atas pagar dan ‘silent protest’ terhadap kepimpinan Umno sekarang.

Sehubungan itu, beliau yakin dan percaya dengan tsunami sokongan yang berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan turut membadai negeri Johor.

Katanya, ahli dan pimpinan Umno bahagian dan cawangan yang ‘silent protes’ terhadap kepimpinan Umno yang ada sekarang akan memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL.

Beliau berkata, perkara ini telah berlaku di Negeri Sembilan pada PRN 12 Ogos lalu di mana PERIKATAN NASIONAL memperolehi kemenangan lima kerusi DUN.

“Ramai wanita Umno dan mereka yang ada jawatan dalam bahagian, secara senyap menzahirkan sokongan untuk memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL kerana tidak puas hati dengan kerajaan campuran PH-BN,” katanya kepada Harakahdaily. 

Sepanjang tempoh kempen bermula selepas penamaan calon, beliau bersama jentera PAS Kawasan Sekijang telah berkampung di unit daerah mengundi (UDM) Seri Tanjong.

“Kita akan berkampung di sini sehingga hari pengundian dan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk kemenangan calon PN DUN Simpang Jeram,” katanya.

PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL, Dr Mazri, Nazri Abdul Rahman (PH) dan Bebas, S Jegananthan.

PRK DUN Simpang Jeram diadakan serentak dengan Parlimen Pulai berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK itu pada 9 September sementara pengundian awal 5 September. – HARAKAHDAILY 28/8/2023

- Advertisement -