Hub Komersial RM1.2 bilion dibangun di Tunjong

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kumpulan Malvest memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lagenda Tunjong Sdn Bhd bagi membangunkan kawasan seluas 23 ekar di Bandar Baru Tunjong.

- Advertisement -

Usahasama itu bagi membangun sebuah Hub Komersial dikenali Lagenda Tunjong melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion yang mengambil masa 8 hingga 10 tahun.

Kedua-dua pihak akan membangunkan Hub Komersial Tunjong yang merangkumi hospital, mall perubatan, hotel, bangunan pejabat, pusat konvensyen, kedai komersial, pangsapuri servis dan taman rekreasi.

Unsur-unsur kebudayaan tradisional Melayu serta keislaman diberi keutamaan dalam rekaan pembangunan projek tersebut. Apabila siap nanti, bandar itu menjadi tarikan baharu di Kelantan.

MOU itu ditandatangani pada 15 Ogos lalu oleh Pengerusi Eksekutif Lagenda Tunjong Sdn Bhd, Ahmad Zakie Ahmad Shariff dan Pengarah Urusan Kumpulan Malvest, Tan Kian Boon.

Ketua Pegawai Eksekutif Lagenda Tunjong Sdn Bhd, Dato’ Ar Aminuddin Abdul Manaf berkata, sebuah hopital pakar wanita dan kanak-kanak akan dibina dalam Hub Komersial di Bandar Baru Tunjong.

“Kita berjaya menarik minat sebuah hospital pakar wanita dan kanak-kanak untuk membuka hospital baru di sini dan kini sedang berunding untuk membawa masuk sebuah hotel berjenama antarabangsa.

“Kita yakin dengan usahasama pemaju Kumpulan Malvest yang sedang giat beroperasi di Kelantan sejak tahun 1990-an akan memastikan kejayaan projek tersebut,” katanya di sini.

Pengarah Urusan Kumpulan Malvest, Tan Kian Boon pula berkata usahasama itu tepat pada masanya kerana kawasan tersebut semakin pesat membangun dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Beliau yakin projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) khususnya apabila stesen ECRL Tunjong siap kelak akan menjadikan Bandar Baru Tunjong sebagai pemangkin pembangunan di Kelantan.

“Usahasama tersebut tepat pada masa. Idea dan konsep baru akan diperkenalkan agar pembangunan terbabit bakal menjadi satu lagi pemangkin baru di Kelantan dengan visi pembangunan kami.

“Visi pembangunan agar dapat menggalakkan perkembangan ekonomi melalui penjanaan aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya.

Kumpulan Malvest merupakan pemaju yang membina bangunan tertinggi di Kota Bharu iaitu Troika Kota Bharu dan kini sedang membina sebuah lagi bangunan dikenali Arika di Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 27/8/2023

- Advertisement -