Negeri PN seolah-olah bakal dihukum selepas PRN

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amat jarang tulisan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat amat tegas.

- Advertisement -

“Amat jarang kita melihat tulisan yang amat tegas daripada Menteri Besar Terengganu kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang amat diplomasi dan bertimbang rasa,” ujarnya.

Tetapi kali ini, kata beliau tulisan tegas Dr Samsuri jelas memaparkan kekecewaannya terhadap sikap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang gemar berpolitik setiap masa dari memikirkan soal rakyat dan negara.

Beliau menyatakan demikian dalam hantaran di Facebooknya sebagai mengulas respons Dr Ahmad Samsuri terhadap Rafizi, semalam.

Menurutnya, jika melihat bait-bait tulisan menteri besar itu dan memahami maksudnya, ia menjelaskan apa itu politik, ketika dan saat mana berpolitik, peranan serta fungsi sebagai pentadbir serta tugas untuk memaju dan memakmurkan negeri dan negara secara kolektif sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Namun, kata Khalil selepas tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN), seolah-olah kelihatan seperti negeri yang diterajui PN mahupun penyokong serta pendukung PN bakal dihukum kerana pegangan politiknya.

“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, begitu juga negeri-negeri yang menjunjung kesatuan yang membina Malaysia. Hormatilah perbezaan pandangan,” katanya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata, jika ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang meminta semua pihak menghormatinya serta dilayan dengan adil, begitu jugalah PERIKATAN NASIONAL ketika ini.

“Jangan cakap tak serupa bikin dan double standard kerana sikap beginilah ramai rakyat muak dan memandang hina kepada ahli politik dan pentadbir,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/8/2023

- Advertisement -