PAS pernah menang dua kali di Simpang Jeram

- Advertisement -

MUAR: PAS melahirkan keyakinan PERIKATAN NASIONAL mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu pernah memenangi kerusi di kawasan itu sebelum ini dengan nama Dun Sungai Abong.

“Dun Simpang Jeram ini bukan asing bagi PAS. Kita dah menang dua kali sebelum ini dengan nama Sungai Abong.

“Kita dah menang dua kali dan kita yakin pada kali ini juga kita akan meneruskan kejayaan kita insya-Allah,” ujar beliau kepada wartawan pada sidang media usai Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya dan Pengisytiharan Calon Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini malam tadi. (Foto atas)

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ketua Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohamad Sanusi Md Nor, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dan calon PN bagi PRK Simpang Jeram, Dr. Mohd Mazri Yahya.

Beliau juga turut mengulas tentang gelombang PERIKATAN NASIONAL yang dilihat tidak menonjol dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke 15 bagi negeri Johor sebelum ini.

Menurutnya, dua faktor yang menyebabkan gelombang itu tidak berlaku di Johor kerana tiada pengundi 18 tahun dan peratus keluar mengundi yang rendah pada kedua-dua pilihan raya itu yang hanya sekitar 50 peratus sahaja.

“Dan kita target pada kali ini kurang-kurangnya dalam 70 ke 77 peratus keluar mengundi. Dan insya-Allah kita yakin kalau pencapaian kita keluar mengundi seperti nasional baru-baru ni, insya-Allah kita boleh ukur gelombang PERIKATAN NASIONAL di Johor,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Justeru, tegas beliau, PRK kali ini sangat penting untuk melihat bagaimana momentum sokongan di seluruh negara turut dirasai di negeri ini.

PRK Dun Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan serentak susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Dun Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua PRK berkenaan ialah 26 Ogos dan 5 September. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -