Doktor muda Jepun mati kerja 100 hari tanpa cuti

Junko Takashima, ibu kepada Dr Shingo Takashima (gambar kecil) tidak dapat menahan kesedihannya dalam sidang media di Osaka, Jepun pada 18 Ogos 2023.
- Advertisement -

OSAKA: Keluarga seorang doktor muda yang meninggal dunia selepas membunuh diri akibat tertekan kerana bertugas selama 100 hari tanpa cuti, selepas bekerja lebih masa 200 jam dalam sebulan, tampil  menuntut keadilan.

Shingo Takashima, berusia 26 tahun telah bekerja sebagai doktor pemastautin di sebuah hospital di Kobe City apabila dia membunuh diri Mei tahun lalu, lapor CNN merujuk kepada laporan media  tempatan, NHK.

Sehubungan itu, keluarga doktor tersebut membuat sidang media Jumaat lepas, merayu kepada perubahan di negara yang telah lama dibelenggu oleh budaya kerja berlebihan; di samping kematiannya disifatkan sebagai kemalangan di tempat kerja yang layak mendapat pampasan.

- Advertisement -

Menurut peguam keluarga itu, Takashima telah bekerja lebih 207 jam lebih masa pada bulan sebelum kematiannya, dan tidak mengambil cuti sehari selama tiga bulan, lapor NHK lagi.

Hospital tempat Takashima bertugas, Pusat Perubatan Konan bagaimanapun telah menafikan tuduhan itu dalam sidang akhbar, juga pada  minggu lalu. 

Namun pada Jun 2023, badan pemeriksaan buruh kerajaan memutuskan kematian Takashima diklasifikasikan  sebagai insiden yang berkaitan dengan kerja kerana waktu kerjanya yang panjang, yang menurut NHK, telah  menonjolkan tekanan besar yang diberikan kepada pekerja penjagaan kesihatan.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun mengakui negara itu sudah lama bergelut dengan budaya kerja berlebihan yang berterusan, dengan pekerja merentasi pelbagai sektor melaporkan jam kerja, tekanan tinggi daripada penyelia dan rasa hormat kepada syarikat.

Tekanan terhadap kesihatan mental pekerja di Jepun yang seterusnya telah menyebabkan fenomena yang dikenali dengan istilah ‘karoshi’ atau ‘kematian akibat kerja berlebihan’, telah   membawa kepada undang-undang yang bertujuan untuk mencegah kematian dan kecederaan akibat waktu kerja yang berlebihan.

Dalam sidang akhbar Jumaat lalu itu, keluarga Takashima menyifatkan apa yang mereka katakan mangsa ialah  seorang lelaki muda yang didesak oleh tekanan bekerja yang keterlaluan.

Ibu Takashima, Junko berkata dalam sidang media tersebut, sebelum membunuh diri, anaknya itu mengadu ‘tugasannya terlalu sukar’  dan ‘tiada sesiapa yang akan membantunya’

“Saya fikir persekitaran  kerjanya  telah meletakkan anak saya sehingga menjadi terpinggir dari perhatian (terhadap kesihatan fizikal dan mentalnya)” katanya.

“Anak saya tidak akan menjadi seorang doktor yang baik dengan tekanan (kerja) sebegitu, dia juga tidak akan dapat menyelamatkan pesakit dan menyumbang kepada masyarakat,” luah Junko yang berharap agar persekitaran kerja doktor di Jepun akan dipertingkatkan agar perkara yang sama tidak berulang kepada individu lain pada masa hadapan.

Abang Takashima, yang tidak dinamakan, turut bercakap dalam sidang akhbar itu, berkata: “Tidak kira bagaimana kita melihat jam kerja abang saya, 200 jam (lebih masa) adalah jumlah yang sukar dipercayai, dan saya tidak fikir hospital (tempat mendiang bertugas) mengambil pendekatan yang kukuh dalam pengurusan tenaga kerjanya.

Dalam sidang akhbar oleh Pusat Perubatan Konan, jurucakap hospital itu berkata: “Terdapat banyak masa apabila (doktor) menghabiskan masa belajar sendiri dan tidur mengikut keperluan fisiologi mereka.

“Disebabkan tahap kebebasan yang sangat tinggi, adalah tidak mungkin untuk menentukan waktu bekerja dengan tepat.”

Ketika dihubungi CNN pada Isnin lalu, jurucakap hospital berkata: “Kami tidak mengiktiraf kes ini sebagai kerja lebih masa dan akan berhenti mengulas mengenainya pada masa akan datang.”

Beberapa kes terlalu banyak bekerja telah menjadi tajuk utama negara dan global selama ini – contohnya, pegawai Jepun membuat kesimpulan pada 2017 bahawa seorang wartawan politik berusia 31 tahun, yang meninggal dunia pada 2013, telah mengalami kegagalan jantung kerana menghabiskan masa yang lama di tempat kerja. 

Mendiang dikatakan  telah bekerja lebih masa 159 jam pada bulan sebelum kematiannya, menurut laporan NHK.

Masalah tersebut di Jepun  kekal tinggi terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan; yang menyaksikan aatu kajian pada 2016 mendapati bahawa lebih daripada satu perempat daripada doktor hospital sepenuh masa bekerja sehingga 60 jam seminggu, manakala 5 peratus (%) bekerja sehingga 90 jam, dan 2.3% bekerja sehingga 100 jam.

Laporan lain, yang diterbitkan tahun ini oleh Persatuan Kolej Perubatan Jepun mendapati bahawa lebih daripada 34% doktor layak untuk ‘tahap khas jam kerja lebih masa melebihi had atas 960 jam setahun’.

Pembaharuan kepada undang-undang buruh dan peraturan kerja lebih masa pada 2018 telah menyaksikan sedikit kemajuan, dengan kerajaan melaporkan tahun lalu bahawa jumlah purata jam kerja tahunan bagi setiap pekerja telah ‘berkurangan secara beransur-ansur’. 

“Namun, walaupun bilangan waktu kerja sebenar telah berkurangan, waktu kerja lebih masa bagaimanapun telah berubah-ubah sepanjang tahun,” tambah laporan berkenaan.  – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -