Merdeka: Tak kisah tema, yang penting patriotik

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini seperti diuar-uarkan kerajaan persekutuan bagi menyemarakkan lagi semangat patrotik.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah mengguna pakai tema berkenaan bukan bermakna bersetuju dengan kerajaan Madani.

Katanya, keputusan itu bukan bermakna kerajaan negeri bersetuju dengan Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana logo dan tema berkenaan sudah dipersetujui di peringkat nasional.

“Kita tak ambil kisah hal slogan, tema atau sebagainya, yang penting semangat patriotik. Slogan lepas-lepas pun kita lupa dah. Tema tahun ini pun nanti lupa juga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kerajaan Persekutuan menggunakan tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Sanusi juga berkata, pendekatan yang diambil kerajaan Kedah sama dengan keputusan yang dibuat kerajaan Terengganu.

Pemuda PERIKATAN NASIONAL menyifatkan tema digunakan kerajaan Pusat mirip kepada politik kerana menggunakan perkataan madani, perpaduan dan harapan. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -