ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan gaji atau elaunnya bertambah kerana mempengerusi lapan portfolio pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar berkata, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri terpaksa menggalas banyak portfolio untuk membolehkan mereka berfungsi seiring dengan peringkat kerajaan persekutuan.
“Ada orang faham apabila pegang banyak portfolio banyak gaji, itu tak betul, gaji banyak itu juga. Kalau saya pegang 100 portfolio, gaji saya banyak itu juga.
“Bila dapat banyak tanggungjawab. Itu beban bukan suatu kenikmatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurutnya juga di peringkat kerajaan persekutuan terdapat 28 menteri kabinet yang memegang dua atau tiga bidang tugas berlainan.
Demikian juga ujar beliau Exco-Exco kerajaan negeri juga perlu mengikut bidang tugas berkenaan agar seiring mengikut bidang tugas peringkat persekutuan.
Sanusi sebelum ini memegang tujuh portfolio ketika mula dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mei 2020.
Kata beliau kerajaan negeri bagi penggal ke-15 memperkenalkan portfolio baharu bagi menyesuaikan keadaan dan keperluan semasa.
“Dulu tak ada Hubungan Luar dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, kita masukkan kerana mahu memberi fokus dan tumpuan,” katanya.
Di peringkat persekutuan jelas beliau, setiap 28 menteri kabinet memegang dua atau tiga portfolio menjadikan jumlah keseluruhan lebih 50 portfolio.
“Walaupun semua Exco terpaksa memikul beban yang banyak, namun demi rakyat mereka melaksanakan dengan sebaik mungkin,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/8/2023