INSAN: Adakah Kerajaan Selangor dapat kebenaran SPR?

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari perlu memberi penjelasan kepada rakyat susulan isu yang berlaku dalam pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

- Advertisement -

Ini berikutan beliau berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan maklumat data awam yang boleh dibeli.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi mempersoalkan adakah kerajaan negeri telah mendapat kebenaran dari SPR menggunakan maklumat data untuk prapendaftaran INSAN sebagaimana yang dimaksudkan oleh Amirudin.

“Dapatan saya ada individu yang tidak pernah mendaftar atau tidak pernah pun mengesahkan prapendaftaran.

“Tetapi apabila membuat semakan sudah ada polisi yang bernombor dan berkuatkuasa mulai 15 november 2022,” katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu menegaskan kerajaan negeri harus bersikap jujur kerana ia berkaitan dengan menggunakan data peribadi tanpa kebenaran.

Tambah beliau ia juga menyentuh soal keselamatan data peribadi rakyat negeri Selangor.

“Berapakah jumlah RM caruman dan sebenar rakyat negeri Selangor yang telah mendaftar di dalam program INSAN.

“Ini kerana jawapan soalan lisan yang saya ajukan di dalam sidang Dewan Negeri (DUN) yang terakhir Mac 2023 lalu adalah sejumlah RM6 juta rakyat Selangor,” ujarnya.

Dalam isu INSAN, Menteri Besar telah menafikan menggunakan data peribadi pengguna rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran INSAN. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -