MUAR: Program Pengisytiharan Calon dan Pelancaran Jentera bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Simpang Jeram gamat sebaik Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mohamad Sanusi Md Nor tiba di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini sebentar tadi.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Pusat itu tiba sekitar jam 10.05 malam semasa Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh sedang berucap.
Hadirin yang teruja melaungkan frasa-frasa yang sinonim dengan Sanusi antara ‘Saya angkat tangan sebab saya lawan Anwar’, ‘Saya ulang!’ dan lain-lain lagi.
Seorang daripada hadirin turut melaungkan ‘terima kasih YB Sanusi datang negeri kami Johor!’.
Sanusi dijadualkan berucap di dalam majlis tersebut yang bakal melancarkan jentera dan memperkenalkan calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS.
Timbalan dan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin turut hadir.
PRK Dun Simpang Jeram diadakan apabila kerusi tersebut kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu selepas menjalani pembedahan di bahagian otak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 9 September.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua PRK berkenaan ialah pada 26 Ogos dan 5 September. – HARAKAHDAILY 23/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!