Adakan ritual agama Hindu dengan bacaan al-Fatihah?

DUPP tegur MIC

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengamati satu video yang tular di media sosial mengenai suatu ritual keagamaan anjuran parti MIC di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Dalam ritual tersebut turut diselitkan seseorang membaca surah Al-Fatihah dan diiringi dengan bacaan doa.

DUPP ingin menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun atas faktor perpaduan dalam meraikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya dalam negara ini. 

Kepercayaan, amalan dan ritual serta prinsip setiap keagamaan mesti dibezakan dengan sama sekali tidak dicampur-aduk. 

Hatta mesti dihalang dari diperlekeh atau dipermain-mainkan, mahupun dijadikan hiasan atau pertunjukan acara, apatah lagi dihina.

Kebimbangan utama di sini adalah normalisasi pluralisme agama yang sewajibnya dibendung daripada berkembang dalam negara ini. 

Seharusnya situasi-situasi sedemikian tidak berlaku dan tidak lagi berulang dalam negara ini dan pihak berkuasa agama serta keselamatan diminta untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.

DUPP menasihati kepimpinan MIC dan penganjur program berkenaan supaya mendapatkan nasihat yang betul sebelum melaksanakan sebarang ritual khususnya melibatkan agama Islam. 

Perkara tersebut melibatkan batas-batas dan pengkhususan dalam agama Islam yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak. 

Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

“Untuk kamu agama kamu, untukku agamaku.”

(Al-Kafirun: 6)

Sekian. 

DATO’ USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua 
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -