‘Kalah atau menang: PAS terus berjuang di medan politik’

Mui’zzuddeen Mahyuddin berikrar akan menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN Hulu Bernam, Selangor dengan baik.
- Advertisement -

TAMBUN: PAS akan terus berjuang di medan politik tidak kira kalah atau menang dalam pilihan raya kerana kerana ia ditubuhkan sebagai parti dakwah, tidak terikat dengan politik semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Mui’zzuddeen Mahyuddin atau lebih dikenali sebagai Muiz berkata demikian sambil menambah bahawa perjuangan parti itu bukan baru sahaja dimulakan. 

- Advertisement -

“Perjuangan di Hulu Bernam (sebagai contohnya) telah kita usahakan sejak 35 tahun yang lalu. Tidak pernah PAS menang di Hulu Bernam, Selangor. 

“Wang ringgit, tenaga, masa, jiwa dan raga telah kita saksikan di Hulu Bernam. Akhirnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 baru-baru ini, Allah SWT telah natijahkan kemenangan dengan bantuan jentera Tambun dan Gopeng. 

“Inilah satu-satunya sejarah yang sama-sama kita cipta untuk Hulu Bernam,” tegas Muiz yang merupakan jurutera automotif dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten).  

Beliau berkata demikian di Markaz PAS Tambun pada 19 Ogos 2023, ketika menyampaikan ucapan dalam Ijtimak Khas PAS Kawasan Tambun yang turut sama meraikan petugas pilihan raya Tambun dan Gopeng yang tjuga memberi sumbangan kepada kemenangan PERIKATAN NASIONAL  di Hulu Bernam. 

Menurut ADUN muda ini, didikan tarbiyah PAS menjadikan ahli-ahlinya kekal istiqamah berada dalam medan politik meskipun memakan masa yang sangat lama untuk mencapai kemenangan setelah pelbagai usaha digembleng. 

“Bergerak ke hadapan setelah kemenangan. Insya-Allah, saya akan berkhidmat dan terus belajar bagaimana cara urus tadbir DUN sebagai ADUN pembangkang tanpa gagal,” ikrarnya. 

Namun begitu, Muiz, 35, tetap tidak menafikan bahawa amanah yang digalas beliau pasca PRN 2023 itu kini merupakan satu ujian yang berat buat dirinya termasuk usaha membawa sinar baharu untuk penduduk Hulu Bernam. 

“Berat tugas dan tanggungjawab menjadi pemimpin masyarakat. Satu kaki (saya) telah berada di neraka. Doakan saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2023

- Advertisement -