‘SIP di Selangor tiada sebarang isu keselamatan’

Mohd Zai (kiri) dalam sidang media Pencerahan Isu Sekolah Agama Persendirian Selangor di parkir berhadapan Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ini, Jumaat, 18 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekolah Islam Persendirian (SIP) yang terdapat di Selangor tidak mempunyai sebarang isu keselamatan seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata sebanyak 200 SIP menjalankan operasi di premis yang mempunyai kelulusan Sijil Perakuan Kelayakan (CF), yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sendiri.

- Advertisement -

“Pihak PBT sendiri memberikan sijil CF yang menunjukkan bahawa bangunan yang digunakan untuk SIP beroperasi  itu selamat, jadi bagaimana pula dalam keadaan ini mereka boleh kata tidak selamat pula?” katanya kepada HarakahDaily.

Mohd Zai  berkata demikian dalam sidang media Pencerahan Isu Sekolah Agama Persendirian Selangor  di parkir berhadapan Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, di sini, hari ini. 

Beliau ke IPD Dang Wangi berhubung siasatan mengenai kenyataan Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor, Datuk Nazilah Idris tentang 200 Sekolah Islam Persendirian (SIP) yang didakwanya diancam bakal ditutup melalui platform TikTok baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau tidak menafikan bahawa perlunya membuat perancangan semula untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar SIP dapat dijaga dengan rapi.

“Jadi, sesiapa nak mendakwa bangunan-bangunan SIP beroperasi tidak selamat adalah amat tidak tepat sama sekali,” tegasnya.

Beliau juga menyatakan, SIP juga tidak ada sebarang masalah untuk memenuhi kelulusan bomba seperti pemasangan sistem salur bantu mula (hose reel), jalan keluar kecemasan dan seumpamanya. 

“Seharusnya kelulusan terperinci mengenai perkara ini perlu dibuat sedikit pembaikan dan tambahan dalam mana-mana bangunan yang dikelola oleh SIP tetapi apa yang pastinya ialah bangunan-bangunan tersebut telah dapat pengesahan PBT untuk digunakan dengan selamat, jelasnya. 

Dakwa Mohd Zai, SIP sendiri turut bersama-sama membantu pihak Jabatan Islam Agama Islam (JAIS) dalam soal pendidikan Islam tetapi masalah yang ditimbulkan ialah daripada sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang bertindak agresif mengenakan saman terhadap SIP terbabit. 

“Ini kerana mereka (pihak PBT terbabit)  sendiri terus melaksanakan syarat-syarat baharu yang dibuat dalam garis panduan baru-baru ini, yang mana banyak SIP telah dikenakan saman atas sebab  tidak dapat memenuhi syarat-syarat tersebut.

“Hanya MBSH, MBSJ dan MBPJ yang bertindak agresif melaksanakan garis panduan tersebut walaupun sepatutnya 12 PBT dalam Selangor ini melakukan sedemikian,” dedahnya lagi. 

Beliau mendakwa perkara-perkara tersebut berlaku apabila Exco-Exco PBT tersebut adalah bukan dalam kalangan orang Islam dan mereka sendiri tidak mempunyai pemahaman jelas mengenai pendidikan agama Islam. 

“Saya bagi contoh, kes kilang-kilang haram yang berlaku di Selangor tetapi masih boleh beroperasi walaupun menimbulkan banyak pencemaran dan kebetulan DAP yang memegang Exco PBT Selangor pada masa ini tetapi tengoklah bagaimana mereka menguruskan SIP itu sendiri telah menimbulkan pelbagai masalah sehinggakan ada yang diancam untuk ditamatkan operasi,” dakwanya. 

Beliau menegaskan, isu SIP seharusnya Exco PBT Selangor perlu diberikan tanggungjawab kepada orang Islam kerana perkara tersebut melibatkan isu agama Islam. 

“Pada pandangan saya, kerajaan Selangor baharu kena beri Exco PBT kepada orang Melayu dan Islam supaya boleh faham dan menyelesaikan isu ini dengan cara yang baik,”  katanya.  – HARAKAHDAILY 18/8/2023

- Advertisement -