10 maut termasuk Exco Pahang, pesawat terhempas di Elmina

Kepulan asap hitam kelihatan selepas sebuah pesawat terhempas di sebatang jalan raya di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada hari ini, Khamis, 17 Ogois 2023. (FOTO: Tangkapan skrin laman media sosial X @MdIrfanAbdullah)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya sepuluh orang termasuk seorang exco Pahang dikhuatiri maut apabila sebuah pesawat ringan terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang tadi.

Pesawat itu membawa enam penumpang bersama dua juruterbangnya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di lokasi kejadian.

Serpihan pesawat kecil berserakan di atas jalan raya berhampiran kawasan perumahan di Elmina, Shah Alam. (FOTO: Bernama)

“Pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan mendarat.

“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Hussein berkata pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban.

Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bergegas ke tempat kejadian.

Keadaan jalan raya di Elmina, Shah Alam lokasi sebuah pesawat terhempas kira-kira jam 3 petang pada hari ini, 17 Ogos 2023. (FOTO: Tangkapan skrin media sosial X @qamahl)

Sebuah video yang disiarkan oleh pengguna laman media sosial X @qamahl merakam lokasi kejadian nahas, dengan kepulan asap hitam tebal berkepul ke langit dan serpihan bertaburan di sebatang lebuh raya. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika ini pasukannya sedang bergerak menuju ke lokasi kejadian, lapor Bernama. – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -