Khidmat Ustaz Ahmad terpahat kukuh ingatan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Khidmat bakti Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob selama ini akan terpahat kukuh dalam ingatan rakyat Kelantan.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sumbangan itu
bukan menjadi ukuran semata-mata, sebaliknya nilai keikhlasan dan jasa yang lebih utama.

Katanya semuanya itu memberi kesan demi kelangsungan pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) yang diasaskan Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1990.

“Saf pimpinan kerajaan negeri sekarang akan menerus dan memperkasakan program di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

“Usaha itu membabitkan soal menjaga kebajikan rakyat serta memastikan Kelantan kekal sebagai sebuah negeri yang mengamalkan ketelusan dan integriti,” katanya pada majlis serah tugas Menteri Besar di sini hari ini.

Hadir sama Ustaz Ahmad, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Abdullah Ya’kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad.

Pada majlis itu Ustaz Ahmad menyerahkan tugas Menteri Besar kepada Ustaz Mohd Nassuruddin. Program itu diadakan di Pejabat Menteri Besar di bangunan MABNA MBI.

Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian Selasa lepas.

Beliau juga berkata, tumpuan penting juga diberi kepada sektor pendidikan, pembangunan modal insan, penambahbaikan kemudahan asas serta pembangunan belia.

“Saya menyedari amanah yang sedang dipikul ini adalah satu amanah yang berat, namun ia adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya mendoakan semuga Allah memberikan sebaik-baik ganjaran atas pengorbanan dan kebaikan kepada mantan Menteri Besar dalam memimpin negeri dengan pahala amalan soleh,” katanya.

Ustaz Ahmad berundur daripada mengetuai kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Sabtu lepas kerana faktor kesihatan dan usia. Beliau menggantikan Tok Guru Nik Abdul Aziz selepas PRU 2013. – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -