Banjir di Seksyen 13 Shah Alam: Longkang, parit tersumbat?

Suasana banjir kilat yang melanda sekitar Tadisma Business Park, di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor pada petang semalam, 16 Ogos 2023. (FOTO: Tangkapan skrin video ihsan Khairul Fitri Mustafa)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Banjir kilat yang melanda kawasan sekitar Seksyen 13, Shah Alam pada petang semalam yang dikatakan antaranya berpunca akibat pam air yang gagal berfungsi, namun kejadian itu dikhuatiri turut disebabkan masalah longkang dan parit yang tersumbat.

- Advertisement -

Seorang saksi banjir kilat, jurutera awam, Khairul Fitri Mustafa, 38, yang ditemui hasil tinjauan HarakahDaily di salah satu lokasi yang dilanda banjir kilat tersebut, di Tadisma Business Park, Seksyen 13, di sini, pada hari ini, berkata, dia ada mendengar tentang antara punca utama kejadian itu tersebut berlaku kerana pam air yang gagal berfungsi di kawasan tersebut.

Namun, dia tidak menolak antara punca lain banjir kilat tersebut, mungkin adalah disebabkan masalah perparitan di kawasan itu. 

Visual keadaan longkang di sekitar Jalan Lawan Pedang, Tadisma Business Park pada hari ini, 17 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

“Longkang dan parit di sekitar kawasan ini agak tersumbat kerana berkemungkinan jarang diselenggara oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” tegasnya yang sempat berkongsi video bahagian hadapan pejabatnya dilanda banjir kilat dengan arus yang sedikit laju dan hampir menenggelamkan beberapa buah kereta diparkir di lokasi kejadian, petang semalam itu.

“Jarang-jarang (atau) tidak pernah saya rasa, nampak MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) cuci longkang (di sekitar kawasan ini),” luah Khairul Fitri.

Keadaan di Jalan Lawan Pedang, Tadisma Business Park pada hari ini, 17 Ogos 2023.

Tinjauan HarakahDaily di sekitar kawasan itu pula mendapati keadaan longkang di situ kelihatan tidak diselenggara dengan baik.

Terdapat rumput dan tumbuhan kecil berhampiran longkang yang tidak dipotong dan tumbuh meliar, selain mendapan tanah yang tebal turut didapati terdapat  di dalam longkang terbabit.

Khairul Fitri

Sementara seorang lagi saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai, Amir, 25, memberitahu ketika banjir kilat di kawasan itu berlaku, paras air hampir mencecah paras 3  kaki.

“Paras air yang begitu tinggi menyebabkan air hampir memasuki rumah kedai, yang mana jarak antara pintu rumah kedai dengan air banjir hanya selangkah sahaja,” katanya.

Amir

Pada hujung 2021, Seksyen 13, Shah Alam antara lokasi yang turut dilanda banjir yang telah melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, selain Hulu Langat dan Taman Sri Muda yang meyaksikan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, seramai 25 mangsa melibatkan 17 lelaki dan lapan perempuan.

Sementara pada Jun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penduduk Taman Sri Muda meneruskan saman terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan syarikat milik kerajaan, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. yang menuntut ganti rugi RM3.8 juta atas dakwaan menyebabkan penduduk mengalami kerugian jutaan ringgit akibat banjir dahsyat berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -