Banjir kilat: Kerajaan Selangor digesa lebih peka

Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor digesa agar lebih peka dan serius dalam menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kejadian banjir kilat akibat hujan lebat yang berulang kembali ini tidak sepatutnya berlaku, malah sepatutnya ditangani dengan baik terutama di bandaraya Shah Alam.

- Advertisement -

“Kejadian banjir kilat petang semalam sangat mendukacitakan rakyat Selangor seolah-olah kerajaan masih tidak serius dalam menangani masalah banjir,” kata yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Selangor kepada HarakahDaily.

Menurut laporan sebelum ini, banjir kilat yang berlaku di Seksyen 13, Shah Alam semalam didakwa berpunca dari pam air yang tidak berfungsi. 

Senario banjir kilat yang melanda beberapa lokasi di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor pada petang semalam, 16 Ogos 2023. (FOTO: YouTube)

Menurut Yunus, perkara itu dapat dielakkan jika proses penyelenggaraan dipastikan sentiasa dalam keadaan baik, selain menggesa supaya pihak yang terlibat bekerja sama menangani isu ini; dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan jumlah peruntukan yang sesuai bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Tindakan secara bersepadu antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) perlu lebih ke hadapan dalam menangani isu banjir dan kerajaan harus memberikan peruntukan yang berpadanan dalam menangani isu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -