PRN 2023: Pengundi Melayu tolak Umno, PKR dan PAN

- Advertisement -

DUA tajuk terakhir rencana saya mengenai politik ialah ‘Melayu tidak boleh bergantung kepada Umno lagi’ (22 November 2022) dan ‘Selamat tinggal Umno’ (25 November 2022). Selepas itu saya tidak menulis lagi mengenai politik sehinggalah ke hari ini. Sebabnya ialah kerana saya telah hilang minat mengenainya. Ia menyebabkan beberapa orang bertanya sama ada saya sihat sebab sudah lama saya tidak menulis. Mereka meminta saya terus menulis kerana, mengikut mereka, banyak orang menunggu untuk mendengar pandangan saya mengenai isu-isu semasa.

Hari ini, setelah melihat keputusan PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan, ada sesuatu yang saya ingin katakan. Maka, saya menulis rencana ini.

Semenjak selepas PRU14 (2018) lagi, ramai orang Melayu veteran yang masih sayangkan Umno menasihatkan ahli-ahli Umno bahawa Umno perlu berubah dan dibersihkan.

Selepas PRN Melaka dan Johor, kita memperingatkan pemimpin-pemimpin Umno bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada Umno bukan kerana mereka, tetapi in spite of them. Kita memperingatkan pemimpin-pemimpin itu bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada Umno kerana mereka masih sayangkan Umno. Pada masa yang sama, mereka mengharapkan Umno akan berubah dan membersihkan diri daripada pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti kepada parti.

Tetapi, pemimpin-pemimpin itu masih ketegar. Mereka menganggap kemenangan itu adalah kerana mereka. Mereka terus memperkuatkan dan melanjutkan kedudukan mereka dalam parti dengan meminda Perlembagaan parti. Ahli-ahli Umno bertepuk gemuruh di Perhimpunan Agung, memberi sokongan kepada ‘pemimpin-pemimpin kesayangan’ mereka. Orang-orang Melayu veteran yang menegur pemimpin-pemimpin itu dianggap sebagai musuh Umno.

Tiba PRU15. Pemimpin-pemimpin itu menghadapi pilihan raya itu dengan angkuh dan penuh keyakinan mereka akan dapat menubuhkan kerajaan pusat semula.

Apa yang terjadi kepada Umno dalam PRU15 kita semua tahu. Umno kalah teruk. Rupa-rupanya, orang Melayu tidak mudah lupa.

DS Zahid dan ahli-ahli MKT Umno masih tidak mengambil pengajaran daripada keputusan itu. Mereka lakukan apa yang tidak terfikir oleh kita ada pemimpin Umno yang sanggup melakukannya. DS Zahid membawa Umno bekerjasama dengan DS Anwar dan DAP, melanggar Resolusi Perhimpunan Agung Umno. Ahli-ahli MKT Umno mengikutinya kerana kepentingan diri. Mereka fikir pengundi-pengundi Melayu akan mengikut apa sahaja yang mereka lakukan. Anggapan mereka ternyata meleset.

Sebagai buktinya, lihat sahaja keputusan PRN yang berlangsung pada 12 Ogos 2023. Daripada 108 kerusi yang ditandingi Umno, ia hanya memperolehi 19 kerusi (17.5 peratus). Itu pun kerana sokongan kepada DSU Mohamad Hassan di Negeri Sembilan sebanyak 14 kerusi, sedangkan di Kedah BN yang bertanding 15 kerusi tidak memenangi satu kerusi pun, di Kelantan ia hanya mendapat satu kerusi, di Pulau Pinang dua kerusi, di Selangor dua dan di Terengganu kosong. Kemenangan dua kerusi di Pulau Pulau Pinang itu pun adalah di Bertam, kampung Tun Abdullah Badawi, setelah menantunya Khairy Jamaluddin turun berkempen untuk calon Umno, seorang bekas Menteri. Satu kerusi lagi di Sungai Acheh, Umno hanya menang dengan 147 undi.

Walaupun Presiden PKR memegang jawatan Perdana Menteri, prestasi PKR juga meleset. Daripada 58 kerusi yang ditandinginya, PKR hanya menang 26 kerusi, itu pun dengan sokongan padu penyokong-penyokong DAP, BN dan PAN. Di Selangor, kubu terkuatnya, ia hanya memenangi 12 daripada 20 yang ditandinginya, 16 kerusi kurang daripada yang dimenanginya dalam PRU14, iaitu 28. Di Kedah ia hanya memenangi dua daripada 10 kerusi yang ditandinginya. Di Pulau Pinang, enam kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 dirampas oleh PN. Di Kelantan dan Terengganu, PKR ditolak sama sekali.

PAN juga menerima nasib yang sama dengan Umno dan PKR. Ia hanya memenangi lapan kerusi daripada 31 yang ditandinginya, termasuk lima daripada sembilan yang ditandinginya di Selangor. Saya berani mengatakan ia menang itu pun atas undi penyokong DAP, BN dan PKR. Mengharapkan undi penyokongnya sendiri, ia tidak boleh menang walau satu kerusi pun. Buktinya, lihatlah apa yang berlaku di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

DAP mempertahankan kedudukannya dengan cemerlang. Ia memenangi 46 kerusi daripada 47 kerusi yang dipertandingkannya (98 peratus).

PN jelas dapat menambah penguasaannya. Ia memenangi 146 kerusi daripada jumlah keseluruhan sebanyak 245 kerusi berbanding dengan 80 oleh PH dan 19 oleh BN. Di Selangor, kubu kuat PH pun, PN dapat menambah lima kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 kepada 22, yang lebihnya itu datangnya daripada PKR, Umno dan PAN. Di Kedah, PN berjaya merampas lima daripada tujuh kerusi PKR, empat daripada PAN, tiga daripada BN dan satu daripada DAP. Di Pulau Pinang, satu lagi kubu kuat PH, PN berjaya menambah satu kerusi (PAS) yang dimenanginya dalam PRU14 kepada 11, kesemuanya dirampas daripada PKR, Umno dan PAN.

Tetapi, yang betul-betul menang adalah PAS. Keseluruhannya PAS memenangi 117 kerusi berbanding dengan rakan kongsinya, BERSATU 28 dan GERAKAN 1. Apa yang lebih menarik dengan pencapaian PAS ialah lonjakan yang dibuatnya sekali gus membenam Umno, PKR dan PAN.

Saya fikir pengundi Melayu bertindak seperti itu atas beberapa sebab. Pertama, mereka masih tidak lupa dan tidak memaafkan apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang mereka berpendapat menggugat hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dan tindakan dan kenyataan penyokong-penyokong PH, terutama sekali dari DAP. Mereka tahu bahawa DAP berdiam diri bukanlah bererti ia telah berubah: ia hanya menukar taktiknya kerana cara konfrontasi dahulu menaikkan kemarahan orang Melayu.

Kedua, orang Melayu, terutama sekali ahli dan penyokong PAS dan BERSATU merasakan bahawa hak mereka untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 telah dirampas daripada mereka dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang digemari oleh pihak Istana.

Ketiga, keputusan PRN ini menunjukkan orang Melayu sedar bahawa Kerajaan Perpaduan adalah Kerajaan PH yang diberi nama baharu.

Keempat, orang Melayu, termasuk bekas pengundi Umno tidak dapat memaafkan DS Zahid dan ahli-ahli MKT kerana membawa Umno masuk bekerjasama dengan DS Anwar dan DAP sedangkan Resolusi Perhimpunan Agung terang-terang mengatakan ‘No Anwar. No DAP’.

Kelima, orang Melayu tidak percayakan DS Anwar untuk menjadi pemimpin mereka.

Keenam, di antara parti-parti Melayu yang ada sekarang, biar apa pun kelemahannya, pemimpin-pemimpin PAS nampak lebih bersih, lebih berintegriti dan lebih boleh dipercayai.

Ketujuh, penyokong-penyokong PAS terdiri daripada semua lapisan masyarakat, daripada pelajar-pelajar universiti dan graduan-graduan muda, lapisan pertengahan umur, apatah lagi warga emas.

Penambahan bilangan kerusi yang diperolehi PN adalah daripada yang sebelumnya dimenangi Umno, PKR dan PAN. Ertinya, pengundi-pengundi yang dahulunya  mengundi parti-parti itu telah berpindah kepada PN, khususnya PAS. Pengundi-pengundi baru Melayu juga nampaknya lebih suka memilih PAS daripada parti-parti Melayu lainnya. Saya percaya, jika PRN15 diadakan pada 12 Ogos 2023, PN akan memperolehi majoriti yang jelas dan Kerajaan Perpaduan tidak akan tertubuh. Keputusan ini adalah penolakan Kerajaan Perpaduan dan parti-parti Melayu yang bekerjasama dengan DAP dan PH. Semua pihak perlu mengambil perhatian

Mengenai kekalahan teruk Umno, faktor utamanya ialah orang Melayu tidak dapat menerima Umno bekerjasama dengan DAP dan PH. Itulah hakikatnya.  Mengenai PKR, orang Melayu tidak percaya DS Anwar dan PKR boleh diharap untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. PAN hanya parti parasit yang tidak relevan dari awal lagi yang digunakan oleh DAP untuk memecahbelahkan PAS.

Adakah DS Zahid dan ahli-ahli MKT Umno akan menerima hakikat itu?

Saya percaya DS Zahid tidak akan menerimanya. Beliau akan bergantung kepada jawatan Presiden Umno yang sudah dilanjutkan tempohnya itu kerana beliau percaya hanya dengan cara itu beliau dapat berkuasa dan melepaskan dirinya daripada pertuduhannya di mahkamah. Untuk itu beliau telah membawa Umno bekerjasama dengan PH (DS Anwar dan DAP). DS Anwar menanggung bebannya kerana perlukan bilangan kerusi Parlimen BN untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Sekarang, pengaruh Umno lebih lemah, DS Zahid terpaksa bergantung kepada DS Anwar dengan harapan untuk mendapat perlindungan dan disebabkan kedudukan PKR sendiri sudah lebih lemah, DS Anwar terpaksa bergantung kepada DS Zahid untuk dapat terus menjadi Perdana Menteri. Mereka memerlukan satu sama lain.

Bagaimana dengan ahli-ahli MKT Umno? Terdapat seorang yang telah bersuara, itu pun bukanlah seorang ahli politik profesional. Beliau adalah seorang profesional yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara untuk membolehnya dilantik menjadi Menteri. Bagi yang lainnya, sekian lama mereka mengikuti kehendak DS Zahid kerana kepentingan diri. Saya tidak nampak ada di antara mereka yang akan bangun menuntut beliau meletak jawatan.

Perlu diingati DS Zahid boleh berkata, keputusan MKT bukan keputusannya seorang. Semua ahli bertanggungjawab. Mengapa hanya dia seorang yang hendak dipersalahkan?

Mungkinkah akan ada gerakan dari bawah? Sehari selepas PRN itu diadakan, terdapat laporan beberapa orang ketua pemuda yang mengatakan Umno perlu berani melakukan perubahan sekiranya ia tidak mahu dilupakan oleh masyarakat.

Ketua Pemuda dan Wanita Umno membuat kenyataan mereka akan mengadakan kaji siasat mengenai kekalahan teruk Umno itu.

Mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini, saya tidak fikir perubahan besar akan berlaku kepada Umno. Selepas DS Zahid dihadapkan ke mahkamah dahulu, Pemuda Umno meluluskan satu resolusi meminta beliau melepaskan semua jawatan dalam parti sehingga beliau dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah. Apabila Umno pulih di bawah pimpinan DSU Mohamad Hasan, DS Zahid kembali memimpin Umno. Kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir, Pemuda pun senyap dan nampaknya bertukar menjadi penyokong DS Zahid yang setia. Saya tidak hairan, jika Perhimpunan Agung tergempar dapat diadakan sekalipun (saya fikir tidak), setelah mendengar ucapan DS Zahid berapi-api, perwakilan akan memberi tepukan bergemuruh menyokongnya. Pemuda, Wanita dan Puteri pun akan turut memberi sokongan tak berbelah bagi. “Pi mai pi mai tang tu” (kata orang Pulau Pinang). “Biarkan. Biarkan” (Si-Lunchai).

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
16 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 16/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -