PAS alukan keputusan mahkamah lepas, bebaskan Muhyiddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, PAS bersyukur dan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi tadi yang telah melepas dan membebaskan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

- Advertisement -

Dari awal lagi, PAS telah menjangkakan keputusan ini kerana yakin bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau yang juga merupakan bekas Perdana Menteri ke-8 dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu merupakan pertuduhan terpilih dan berbaur politik.

Kami sebagai sekutu Bersatu di dalam PN sememangnya pasti bahawa (tuduhan itu) ia satu perancangan untuk melemahkan PN, namun saya tidak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, malah telah menambahkan lagi sokongan kepada kita dalam pilihan raya negeri di enam buah negeri Sabtu lalu.

PAS menentang sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas Tan Sri Muhyiddin adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

PAS turut yakin bahawa tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin itu juga adalah bagi menutup aib dan melencongkan perhatian rakyat dari isu yang berlaku di dalam parti Umno yang menjadi sebahagian dari Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS berdoa semoga Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah.

“Malaysia Sejahtera”

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 15 Ogos 2023/28 Muharram 1445 – HARAKAHDAILY 15/8/2023

- Advertisement -