Cubaan DAP kuasai kerusi Melayu disekat gelombang rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP ternyata berjaya melaksanakan strateginya dalam menguasai kedudukan kerusi apabila mencapai kemenangan 97.9% iaitu 46 daripada 47 DUN ditandingi parti itu pada PRN kelmarin.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu juga menunjukkan DAP adalah perancang utama dalam mempengaruhi kerusi ditandingi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

“Semua orang tahu, dalam kerajaan gabungan PH-BN hari ini, DAP mainkan peranan utama, kerana pegang kerusi terbesar 40 Parlimen. Jadi sama ada terbuka atau tertutup, pastinya mereka punyai suara yang banyak, yang kuat kerana ada kerusi majoriti,” terangnya.

Ahli Parlimen Jerantut itu juga berkata, DAP menggunakan sepenuhnya rakan gabungan mereka iaitu PKR, PAN dan Umno untuk berhadapan lawan politik Melayu terutama daripada PAS dan BERSATU.

DAP sejak dahulu ujarnya, menggunakan strategi itu dalam berdepan isu dari parti-parti Melayu termasuk juga ketika pilihan raya, agar mereka dapat fokus menangani atau menarik sokongan kaum bukan-Melayu.

“Jadi dalam dalam pilihan raya biasanya pemimpin-pemimpin mereka ni akan ‘shut down’ untuk tidak bagi komen apa-apa. Mereka hanya fokus (menarik sokongan)pengundi bukan-Melayu sahaja.

“Serangan (balas) rakan gabungan DAP kepada PAS dan BERSATU jadikan DAP boleh fokus hanya kepada pengundi bukan-Melayu sahaja. Adapun (dengan serangan itu) dia dapat pengundi Melayu, itu bonus buat mereka. 

“Tetapi matlamat utama mereka adalah memenangi kerusi majoriti Cina. Pendekatan DAP mendepankan calon-calon Melayu hanyalah ‘camouflage’ sahaja untuk menunjukkan mereka itu ‘multiracial’, sedangkan dia tidak sebegitu,” ujarnya.

Jelas beliau, DAP hakikatnya tetap konsisten dengan perjuangan Malaysian Malaysia sebagaimana Deklarasi Setapak di mana PAS mempunyai pengalaman dengan parti itu dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dahulu.

Kerana itu menurutnya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beliau sendiri selaku Ketua Penerangan sering mengeluarkan kenyataan mengenai DAP untuk terus memberi peringatan kepada rakyat.

Terangnya, PAS mengingatkan kepada bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga kaum Bumiputera dan bukan-Melayu yang sederhana mengenai sikap ekstrem dalam perjuangan DAP.

Beliau turut mengimbas mengenai agenda ICERD dan Statut Rom yang diperjuangkan DAP ketika dalam Kerajaan PH hingga mendapat kebangkitan dan bantahan besar rakyat negara ini beberapa tahun lalu.

“DAP memperjuangkan kesamarataan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan PAS dan Perikatan Nasional, kita konsisten mempertahankan Perlembagaan dan menghormati Raja Berpelembagaan.

“Begitu juga Rukun Negara yang memperkuatkan masyarakat majmuk negara kita ini. Tetapi DAP selalu menunjukkan sebaliknya,” ujar beliau mengajak rakyat terus berwaspada dengan parti itu.

Bagaimanapun katanya, cubaan DAP untuk menguasai kerusi-kerusi Melayu melalui rakan gabungan mereka pada PRU lalu dan PRN terkini telah berjaya dinafikan dengan kemenangan berpihak kepada PN.

Menurut beliau, gelombang orang-orang Melayu yang bangkit telah menidakkan penguasaan strategik cuba dilakukan DAP ke atas kerusi-kerusi Melayu melalui rakan gabungan daripada PKR, PAN dan Umno.

Jurutera profesional itu berpandangan, DAP mungkin akan melakukan sesuatu yang lebih drastik bagi menghadapi perkembangan tersebut di mana tidak akan terlalu bergantung kepada PKR, PAN dan Umno.

Terutama katanya, untuk gabungan bersama itu mengambil kembali kepercayaan orang Melayu, kerana kekal dengan keadaan ketika ini jelas merupakan satu tindakan yang silap kepada mereka.

Kerana jelas beliau, dalam 40 Parlimen dimenangi DAP itu terdapat kerusi yang dimenangi oleh DAP melalui calon Melayu iaitu di Bentong dan Raub kerana berlaku pecah undi antara Umno dan PN ketika itu.

Tetapi menurutnya, jika gelombang kesedaran orang Melayu berterusan pada PRU16 nanti, ia akan menyebabkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP akan semakin mengecil, sekali gus mungkin menghilangkan penguasaannya.

“Jadi DAP mungkin akan membuat satu tindakan baru. Mereka tidak lagi boleh berharap kepada kepada Umno dan juga PKR. Kemungkinan DAP menghulurkan tangan kepada PN pun tak mustahil.

“Demi kuasa barangkali DAP akan mengatakan kepada rakyat yang mereka tidak lagi berpegang kepada Deklarasi Setapak dan mereka mungkin akan buat kenyataan terbuka untuk mengubah Perlembagaan mereka.

“(Iaitu) Supaya mereka bersetuju dan menyokong kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berpelembagaan,” ujarnya menjangka muslihat serba mungkin diadakan parti cauvinis dan kiasu itu. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -