PN tembusi kubu kuat DAP di Pulau Pinang

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: PERIKATAN NASIONAL (PN) semakin mara di negeri kubu DAP di Pulau Pinang apabila menguasai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Ini bermakna lebih 25 peratus daripada 40 kerusi DUN di negeri itu ditembusi PN dengan tujuh DUN dimenangi calon PN yang diwakili PAS dan baki calon Bersatu.

- Advertisement -

Ustaz Mohd Yusni Mat Piah mempertahankan kerusi Penaga buat kali kedua dengan majoriti lebih besar, iaitu 5,537 undi.

Beliau memperoleh 13,223 undi menewaskan calon BN-PH, Mohd Naim Salleh yang mendapat 7,686 undi. Kemenangannya kali ini memecahkan rekod PRU14.

Calon PN, Bukhori Ghazali berjaya merampas kerusi DUN Pinang Tunggal dari PH dengan menang bergaya majoriti 6,928 undi.

Bukhori yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kepala Batas mendapat 17,060 undi menewaskan Zainuddin Mohamed yang memperoleh 10,132 undi.

Calon PN, Mohd Sobri Salleh yang juga YDP Tasek Gelugor menang dengan majoriti 8,949 undi di DUN Permatang Berangan menewaskan penyandang Nor Hafizah Othman (BN-PH).

Timbalan Pengerusi PN Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff yang juga Pesuruhjaya PAS negeri buat julung kali melakar kejayaan apabila menang dengan majoriti 5,509 undi di kerusi Sungai Dua.

Beliau memperoleh 13,988 undi manakala pesaingnya, calon BN-PH, Dato’ Dr Shaik Hussein Mydin memperoleh 8,479 undi.

DUN Permatang Pasir dimenangi calon PN, Amir Hamzah dengan undi 13,526 undi menewaskan penyandangnya Faiz Fadzil (PH) yang memperoleh 10,418 undi dengan majoriti 3,108 undi.

Selain itu, calon PN di Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah memperoleh undi 9,534 undi menewaskan calon PH, Tuah Ismail 8,483 undi dengan majoriti 1,051.

DUN Sungai Bakap dimenangi YDP Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff dengan majoriti 1,563 undi. Beliau memperoleh 15,433 undi menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose yang memperoleh 13,870 undi.

Empat kerusi dimenangi Bersatu pula ialah DUN Telok Ayer Tawar, Seberang Jaya, Penanti dan Telok Bahang.

Azmi Alang menang 10,233 undi meninggalkan calon PH Mohsein Shariff yang memperoleh 8,276 undi dengan majoriti 1,947 undi.

Selain itu, Izhar Shah Arif Shah sebagai muka baharu dari Bersatu melakar kejayaan apabila menang kerusi Seberang Jaya dengan majoriti 4,926 undi, menundukkan lawannya Johari Kassim (PH).

Timbalan Pengerusi PN negeri, Zulkefli Bakar dari Bersatu menang di kerusi Penanti setelah memperoleh majoriti 3,575 undi dengan kutipan undi sebanyak 12,586 manakala calon PH, Rosidi Hussain mendapat 9,011 undi.

Telok Bahang dimenangi Kolonel (B) Muhamad Kassim menewaskan calon BN-PH, Ahmad Zaki Shah Shah Headan dengan majoriti 944 undi.

Pada PRN semalam PAS menampilkan 10 calon, Bersatu (11) dan Gerakan (19) sebagai mewakili PN. – HARAKAHDAILY 13/8/2023

- Advertisement -