Pengaruh PAS semakin melebar di Pulau Pinang

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Keputusan tidak rasmi sehingga jam 10 malam tadi menunjukkan tujuh daripada 10 calon PAS yang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi, menerajui kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua dengan majoriti 5,333 undi.

- Advertisement -

Beliau yang mewakili PN memperoleh 13,804 undi, manakala pesaingnya calon Pakatan Harapan (PH), Dato’ Dr Shaik Hussein Mydin memperoleh 8471 undi.

Ustaz Mohd Yusni Mat Piah pula mempertahankan kerusi Penaga dengan menewaskan calon PH, Mohd Naim Salleh dengan majoriti 5,440 undi.

Beliau yang memenangi kerusi Penaga buat kali kedua memperoleh 13,051 undi dan Mohd Naim, 7,611 undi.

Calon PN, Mohd Sobri Salleh menang kerusi DUN Permatang Berangan dengan majoriti 8,879 menewaskan penyandang Nor Hafizah Othman (PH).

Sementara itu, calon PN DUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali menang dengan undi 17,060 menewaskan calon PH, Zainuddin Mohamed yang mendapat 10,123 undi, iaitu majoriti 6,928 undi.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi juga, DUN Permatang Pasir dimenangi calon PN, Amir Hamzah Abdul Hashim dengan undi 13,526 menewaskan penyandangnya Faiz Fadzil dari PH yang memperoleh 10,418 dengan majoriti 3,108 undi.

Selain itu, calon PN di Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah memperoleh undi 9,531 menewaskan calon PH, Tuah Ismail 8,485 undi dengan majoriti 1,046.

Keputusan tidak rasmi DUN Sungai Bakap pula menyaksikan calon PN, Nor Zamri Latiff menang dengan majoriti 1,622 undi. Beliau memperoleh 15,531 menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose yang memperoleh undi 13,909.

Sebanyak 40 kerusi DUN Pulau Pinang dipertandingkan dalam PRN. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -