‘The Greater Penang’ hanya untungkan golongan kaya

Tidak bawa limpahan pembangunan, anak jati terpaksa bawa diri

- Advertisement -

PADANG SERAI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengkritik rancangan pembangunan ‘The Greater Penang’ yang terlihat kini hanya menguntungkan kelompok tertentu sahaja khususnya golongan kaya.

Menurut beliau, rancangan itu menuntut negeri-negeri sekitar menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang di mana setelah itu segala kemakmuran kononnya akan membawa limpahan ke semua negeri itu semula.

Namun bidas Sanusi, apabila kejayaan pembangunan itu tercapai, tiada limpahan yang mengalir ke negeri-negeri berhampiran sebaliknya ramai rakyat Pulau Pinang terpaksa membawa diri ke negeri berjiran sekitar itu.

Kesal beliau, keadaan tersebut disebabkan Pulau Pinang dibangunkan dengan premis dan kediaman yang tidak mampu dimiliki kerana terlalu mahal bagi rakyat miskin mahupun berpendapatan sederhana.

“Orang Pulau Pinang terpaksa membawa diri ke Seberang Perai. (Tetapi) Seberang Perai pun (rumah) mahal. Mereka membawa diri ke Kulim dan Sungai Petani. Sekarang ni dah ada ‘double track’, mereka boleh duduk sampai ke Alor Setar. 

“Kita terpaksa menerima orang-orang yang tak mampu duduk di Pulau Pinang untuk menghuni di Kedah ni. Orang-orang kaya, super kaya saja boleh beli harta di Pulau Pinang. Orang Pulau Pinang mahu ingat (perkara ini).

“Daripada tanah tumpah darah depa itu, depa dah tak mampu duduk, depa terpaksa migrated ke Kedah, dengan kos hidup dan property yang masih rendah. Inilah Kedah yang memberi rahmat kepada semua orang,” ujarnya.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL berkata demikian pada program Grand Final Sembang Santai Bersama Panglima Perang MB Sanusi di Padang Awam Taman Tunku Putra, Kelang Lama, di sini.

Tambah beliau, di sebalik dakwaan mereka mengata Kedah sebagai miskin, tetapi negeri inilah sebenarnya menyara orang-orang yang tidak mampu hidup di Pulau Pinang untuk menetap di sini.

Beliau juga kesal dilemparkan pelbagai pandangan negatif oleh pentadbiran Pulau Pinang, sedangkan negeri itu bergantung kepentingannya kepada Kedah terutama bekalan sumber air mentah dari Sungai Muda.

Katanya, Pulau Pinang sepatutnya mengakui bahawa air mentah yang diekstrak negeri itu dari Sungai Muda adalah bersumberkan dari kawasan Ulu Muda dalam wilayah negeri Kedah dan dijaga dengan baik.

Kerana itu ujarnya, negeri itu perlu membayar caj penggunaan air yang dituntut Kedah kerana ia melibatkan pemeliharaan hutan sangat luas sebagai kawasan tadahan air selain juga sungai mengalir itu.

“Kita habaq bagi hang faham. Justifikasi kita benar, betul, munasabah, (maka) bayarlah. Yang hang buat ‘keras perut’ pasal apa?” ujarnya mempersoal kedegilan Kerajaan DAP Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -