Bersatu ada potensi di DUN dimenangi BN PRU14

- Advertisement -

SELEPAS berakhir Pakatan Rakyat pada 2015, PAS tidak bergerak bersendirian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Gagasan Sejahtera diwujudkan dengan gandingan PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA). Biarpun Gagasan itu kurang menyerlah, namun PAS masih menguasai 18 kerusi parlimen pada PRU14.

- Advertisement -

Namun, berbeza bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. PAS bekerja dengan parti yang lebih besar dan kuat. Malah PAS sebagai pengasas bersama PERIKATAN NASIONAL (PN) yang turut disertai Bersatu dan Gerakan. Di Kelantan dan Terengganu, PN mengekalkan logo ‘bulan’ manakala negeri-negeri lain menggunakan logo baharu iaitu PN. Ternyata transformasi politik itu membuahkan hasil pada PRU15.

PN menguasai 74 kerusi parlimen. Persoalannya adakah kejayaan itu masih mampu dipertahankan PN menghadapi PRN esok. Bagi melihat potensi itu ikuti temubual LANJUSOH bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Bersatu Kelantan Dato’ Kamaruddin Md Noor ketika ditemui baru-baru ini. Beliau juga calon PN DUN Ayer Lanas, Jeli. Transkrip oleh NUR ASYURA MOHAMAD.

Harakahdaily: Dato’ lama terbabit dengan Umno, mungkin apa faktor perhijrahan politik kepada Bersatu pula?

Kamaruddin: Penghijrahan saya daripada Umno kepada Bersatu terdapat dua faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik.
Faktor penolak ialah bermula daripada Umno apabila berlaku isu-isu yang tidak disenangi oleh ahli. Penyalahgunaan kuasa, adu domba menjadi suatu fenomena baharu akhir-akhir ini yang bertentangan dengan ahli-ahli Umno yang tidak lagi selesa berada dalam Umno.

Dan mengambil kira isu tersebut berlaku penghijrahan kepada parti-parti lain. Dan faktor penarik pula ialah Bersatu merupakan parti baharu yang bersih tiada rekod jenayah, korupsi dan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan kita rasa tidak selesa.

Itu adalah kelebihan kepada parti baharu dan menjadi penarik kepada orang yang muak dengan gejala buruk dalam parti dan ingin mencari tempat yang mempunyai nilai-nilai yang lebih baik dan positif.

Yang kedua, Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang sama dengan Umno, jadi orang yang keluar Umno tidak akan rasa asing. Dan sudah pasti Bersatu sebagai parti baharu tidak dinafikan ada kekurangan, biasanya menjadi faktor penarik bagi sesuatu parti ialah kuasa yang ada padanya sama ada kuasa di peringkat negeri atau Pusat, jadi kuasa itu juga menjadi faktor penarik.

Bersatu belum ini pernah merasakan kuasa itu kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kita menguasai kerajaan Pusat seketika dan kekuasaan yang ada itu belum cukup matang untuk jadi faktor penarik.

Walaupun begitu, bilangan ahli Bersatu sudah bertambah dan ianya adalah atas kerugian Umno kerana kebanyakannya datang daripada Umno.
Selain itu ada juga ahli baharu yang datang daripada mereka yang belum pernah menjadi ahli mana-mana parti.

Inilah fenomena yang dapat dilihat berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Bersatu bersepakat dengan PAS bagi membina kekuatan menjalinkan Melayu dan Islam. Oleh kerana Umno sekarang sudah tidak diharap apa lagi untuk mencapai misi itu.

Gabungan PN menjadi kuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan menambah kerusi kita di parlimen. Bagi PAS paling banyak mendapat manfaat iaitu empat negeri dikuasai oleh PAS iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Ternyata PAS mendapat hasil yang agak baik hasil daripada gabungan melalui PN.

Setelah Umno hilang tokoh hebat seperti Tan Sri Annuar Musa dan Dato’ Mustapa Mohamed, nampaknya Umno Kelantan tidak lagi menyerlah. Apa pandangan Dato’?

Tokoh atau nama-nama besar di Kelantan yang ada sekarang berbeza dengan pemimpin yang terlatih seperti Dato’ Mustapa dan Tan Sri Annuar. Jurangnya agak lebar.

Jadi apabila berlaku kekosongan akibat dipecatnya Tan Sri Annuar dan Dato’ Seri Mustapa pula keluar daripada Umno dan menyetai Bersatu, maka penggantinya sekarang Dato’ Ahmad Jazlan Yaacob dan lain-lain tidak dapat memenuhi ruang yang kosong itu, mereka belum lagi bersedia dan belum cukup pengiktirafan oleh masyarakat Kelantan. Umno sekarang dipimpin oleh mereka yang kurang wibawa.

Mungkin ada gambaran awal potensi Bersatu yang bertanding di enam kerusi DUN di Kelantan pada PRN kali ini?

Bersatu bertanding di enam tempat iaitu dua di Gua Msuang, dua di Jeli dan masing-masing satu di Tanah Merah dan Ketereh. Berdasarkan sumber jentera PAS dan sumber-sumber lain, umumnya memberi gambaran bahawa peluang kita untuk menarik sokongan sangat baik dan meningkat daripada sehari ke sehari.

Jika diberi pengkadaran, atas skala 1 hingga 10, purata kita sekarang adalah skala 6. Ada yang lebih baik dari enam dan ada yang kurang daripada enam.

Bagaimanapun tidak dinafikan ada cabaran di dua kerusi iaitu di DUN Paloh dan Nenggiri. DUN terbabit antara cabaran yang agak kuat. Mungkin rating kurang daripada 6.

Biarpun begitu usaha-usaha di saat-saat akhir kita ingin memperluaskan kempen dalam kalangan pengundi. Di Jeli insyallah boleh diterima dan boleh capai skala 7 di DUN di kawasan parlimen Jeli.

Begitu juga di DUN Gual Ipoh juga skala 7 dan Kok Lanas mungkin tinggi sikit dengan skala 7.5. Ia mencerminkan juga kekuatan PAS di kawasan berkenaan yang memberi kesan kepada Bersatu. Dan ditambah pula disebabkan Umno berpecah, ia memberi kelebihan kepada Bersatu.

Di Gual Ipoh juga Umno berdepan dengan masalah dalaman. Di parlimen Tanah Merah Umno tiada lagi tokoh besar seperti Dato’ Seri Ikmal Hisyam yang bersama dengan kita. Beliau mempunyai pengaruh peribadi yang kuat dan kawan-kawannya dalam Umno menyokong beliau dalam Bersatu. Kesimpulannya sokongan kepada Bersatu banyak dibantu atas faktor perpecahan dalaman Umno.

Sebelum ini ada kedengaran sumbang mengatakan Dato’ berasal Pasir Puteh namun menjadi calon di DUN Ayer Lanas, Jeli. Apa pandangan Dato’?

Menjawab isu tersebut, perkara ini tidak menggambarkan semuanya begitu. Ini tidak menjadi isu sebenarnya PAS ada juga calon dari luar, contohnya calon parlimen di Kubang Kerian, namun diterima baik pengundi tempatan.

Dato’ Seri Mustapa juga berasal dari Bachok, maka sama juga dengan saya. Keduanya saya tak berniat untuk berulang alik sekiranya dipilih rakyat. Saya telah mengambil keputusan untuk tinggal atau bermestautin di Ayer Lanas jika diberi mandat kali ini.

Sekarang pun saya sudah rasa selesa berada di sana kerana suasana yang menyenangkan dan menenangkan jiwa saya. Sudah pasti ada hari-hari tertentu saya ada urusan di Pasir Puteh atau Kota Bharu dan sebagainya.

Tumpuan Dato’ sekiranya diberi mandat rakyat?

Tok Pa ketika bertugas sebagai menteri banyak memberi manfaat kepada pembangunan di kawasan Jeli. Hasil rondaan saya sepanjang kempen PRN di kawasan Ayer Lanas dan Jeli, kerja-kerja infrastruktur hampir selesai dari segi perancangan dan binaan seperti jalanraya, bangunan kerajaan dan infra lain hampir siap.

Cuma satu dua di kawasan pedalaman yang masih belum siap tapi itu pun sudah ada separuh. Jadi kerja saya ialah menyambung kerja-kerja Adun sebelum ini, di samping memberi nilai tambah kepada pembangunan infrastruktur yang Tok Pa sudah mula dan siapkan.

Antaranya ialah penubuhan institusi pendidikan, jabatan kerajaan dan kemudahan perniagaan sudah ada. Ia sudah ada biarpun tidak lengkap sepenuhnya. Jadi saya perlu menyambung kerja-kerja tersebut dan memberi nilai tokoh kepada projek-projek yang sudah ada.

Lagi pun jumlah pengundi di parlimen Jeli tidak ramai sekitar 45,000 orang. Mungkin atas sebab itu sesetengah bank besar belum bersedia mewujudkan cawangan di sana, tetapi sudah ada beberapa bank kecil.

Yang keduanya ialah sistem telekomunikasi, banyak tempat yang tidak dapat akses internet akibat daripada kawasan berbukit dan teknologi mikrovawe memerlukan tanah lapang baru dapat coverage. Walupun begitu sudah ada 73 radius station tetapi belum mencukupi kerana radius cover bagi sesuatu radius station ialah antara jarak 2-3 km sahaja.

Syarikat telekomunikasi swasta merasakan ia tidak ekonomik untuk membanyakkan lagi station bagi menyambung pancaran itu kerana jumlah penduduk yang tidak ramai.

Tetapi melihat kewujudan institusi pengajian seperti pengajian Universiti Malaysia Kelantan dan Politeknik Jeli, pelajar memerlukan perkhidmatan internet yang laju. Jadi jika saya diberi mandat rakyat, saya akan berunding dengan syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam bidang tersebut.

Selain itu peluang yang dapat dilihat di Jeli ialah dari segi agro tourism kerana mempunyai flora fauna, bukit bukau, sungai dan lata yang agak menarik dan sudah dipopularkan melalui media sosial. Selain itu terdapat juga kemudahan kembara seperti hiking, gua-gua yang boleh dijadikan nilai tambah dan idea bagaimana untuk memberi nilai kepada apa yang dah ada di sana.

Kebanyakan pelancong yang datang, biasanya dengan keluarga. Saya dimaklumkan oleh pengusaha hotel dan homestay di Jeli, kebanyakan pengunjung akan bertanya tentang kemudahan internet di tempat tersebut kerana kebanyakan anak muda perlukan kemudahan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -