Ustaz Salim, pengalaman luas sebagai guru

- Advertisement -

POKOK SENA: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood, bakal menghadapi saingan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Said Ali Said Rastan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,285 undi dalam pertandingan empat penjuru yang turut membabitkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.

- Advertisement -

DUN Bukit Lada sebelum itu dimenangi calon BN, Dato’ Ariffin Man pada PRU13 dengan majoriti 1,324 undi, manakala pada PRU12, calon PAS, Ustaz Izzat Shauki menang dengan majoriti 208 undi.

Anak jati Bukit Lada yang dilahirkan di Kampung Paya pernah berkhidmat sebagai pendidik di Maktab Mahmud, Alor Setar antara 2005 hingga 2006.

Beliau kemudian berpindah ke Maktab Mahmud Pendang pada tahun 2006 hingga 2012, diikuti di Maktab Mahmud Pokok Sena mulai 2013 hingga 2018.

Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada mulai 2018 hingga 2023.

Antara jawatan yang pernah dipegangnya dalam PAS ialah Ketua Cawangan Kampung Paya (2019-2023), Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (2005-2017), Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (2017-2019), Ketua Penerangan PAS Kawasan Pokok Sena (2017-2020) dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah (2019-2023).

Ustaz Salim memiliki Diploma Usuluddin dari Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah dan Sarjana Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS). – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -