Aura Sanusi tawan hati rakyat Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Aura dan kehebatan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, secara tidak langsung meningkatkan gelombang sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

Ini menyebabkan kebanyakan orang ramai yang ditemui mengharapkan PN terus mengungguli pemerintahan kerajaan negeri dan Muhammad Sanusi sekali lagi diangkat menjadi Menteri Besar.

- Advertisement -

Malah, isu penangkapan beliau langsung tidak memberi kesan kepada penyokong PN yang semakin meningkat.

Bagi anak muda, mereka tanpa ragu-ragu berani menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin yang digelar ‘Panglima Kedah’.

Tinjauan HarakahDaily mendapati ‘trend’ mengangkat tangan ‘riuh’ menjadi ikutan pelbagai lapisan masyarakat.

Sharizal Abdul Halim (kiri) dan Mohd Khalis Zainuddin

Mohd Khalis Zainuddin, 22, yang tetap menyokong PN menyifatkan segala tuduhan yang dilemparkan kepada Menteri Besar sengaja dilakukan untuk menjatuhkannya.

“Saya tetap sokong dan anak muda memang teruja dengan cara beliau melayani golongan muda. Mesra dan mudah didekati,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan milik ibunya di Pekan Jeniang.

Malah kata Khalis, Sanusi pernah datang ke kedai ibunya sebelum ini.

Sharizal Abdul Halim, 47, juga berbangga dan menganggap Sanusi sebagai wira rakyat Kedah.

Katanya, apa juga isu jika hendak mencari kesalahan memang ada, tetapi rakyat perlu melihat dari sudut positif.

“Saya berharap beliau tabah dengan apa jua yang berlaku dan sebenarnya kejadian penangkapan serta fitnah terhadap beliau menjadi impak terbaik kepada PN Kedah.

“Kami tetapi sokong dan undi PN,” katanya.

Peniaga buah-buahan yang berasal dari Jeniang itu sentiasa mengikut perkembangan isu-isu semasa, terutama berkaitan ‘Panglima Kedah’ di media sosial.

Aiza Alang (kiri) dan Nor Fatin Nadia

“Menteri Besar ini memang ok. Saya sokong beliau. Bagi saya, Sanusi layak untuk terus menerajui Kedah sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, ” kata Aiza Alang, 42, pekerja sebuah restoran di Alor Setar.

Muhammad Sanusi, katanya mesra rakyat, rajin turun padang serta berani bersuara dan sudah pasti akan mengundi PN pada PRN ini.

Sementara itu bagi pengundi muda, Nor Fatin Nadia Ahmad Fisol, 26, Menteri Besar sekarang adalah yang terbaik dan bertanggungjawab menunaikan hak rakyat.

Muhammad Sanusi tegasnya mampu menunjukkan contoh yang terbaik dan mengharap terus kekal menjadi teladan kepada rakyat.

“Saya mengharapkan pada PRN ini, rakyat Kedah memberi sokongan kepada PN yang menampilkan calon berkaliber. Saya yakin mereka mampu menerajui negeri dengan baik apabila berjaya menubuhkan kerajaan 12 Ogos ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -