Pilih parti bawa manfaat di dunia dan akhirat

Dr Riduan (tengah) menziarahi penduduk di Dun Jertih.
- Advertisement -

BESUT: Dr Riduan Mohamad Nor berharap pengundi dapat membuat pilihan yang tepat pada hari mengundi 12 Ogos ini.

- Advertisement -

“Pilihlah parti yang boleh membawa manfaat di dunia dan akhirat,” katanya yang bertanding di Dun Jertih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini

Beliau menggariskan dua teras utama buat pengundi di Dun tersebut apabila mendapat mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Teras pertama, katanya memperkasakan kebajikan dan menyantuni orang-orang susah yang memerlukan bantuan.

“Golongan ini tidak sesekali akan disisihkan atau dipinggirkan dalam mendapatkan bantuan.

“Kita akan cuba mendapatkan bantuan daripada relawan luar Dun ataupun dalam Dun untuk memberi bakti buat masyarakat di Dun Jertih ini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Soal kebajikan ini juga adalah sebahagian daripada tuntutan orang yang beriman supaya cakna dan peduli kepada orang susah termasuklah anak yatim, ibu tunggal, warga tua serta OKU,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau berusaha untuk memperkasakan pendidikan buat warga Besut dan Jertih.

Katanya, soal memandaikan dan mencerdaskan umat sangat penting terutama di daerah ini.

“Kita akan perbanyakkan kuliah-kuliah ilmu, forum, talk show dan kem motivasi pelajar,” jelasnya lagi.

Tambahnya, ia bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Dr. Riduan turut berusaha menunaikan janji manifesto dan ikrar kepada pengundi di Dun Jertih agar dapat tertegak nilai murni berasaskan gerakan kebajikan dan pendidikan di kawasan itu. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -