Calon PN perjuangkan isu banjir di Ijok, Selangor

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN), Ijok, Selangor, Jefri Mejan (kiri) prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk di situ. (FOTO: Facebook Jefri Mejan)
- Advertisement -

IJOK: Masalah banjir yang sering melanda beberapa kampung di Ijok, Selangor perlu diberi perhatian serius.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Ijok, Jefri Mejan berkata, kawasan yang kerap dilanda banjir ialah  di Kampung Parit Mahang ke Ijok dan Parit Mahang ke Bukit Cherakah.

Menurutnya, punca masalah banjir perlu dilihat daripada pelbagai aspek antaranya kesan pembangunan pesat di Puncak Alam.  

- Advertisement -

“Sistem perparitan yang cetek dan tidak diselia dengan baik antara punca berlaku banjir kilat ketika hujan lebat. 

“Masalah itu insya-Allah akan saya ketengahkan kepada Jabatan Pengaliran Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mendapat mandat rakyat,” katanya di sini.  

Jefri merupakan anak tempatan Bukit Badong turut memberitahu banyak tanah kerajaan yang terbiar di Ijok yang boleh dimanfaatkan dengan mewujudkan lokasi perniagaan kecil. 

Tambah beliau, sebahagian tanah kerajaan negeri yang terbiar sesuai dijadikan kawasan perniagaan antaranya ‘food court’.  

Jefri beramah mesra dengan penduduk berbilang bangsa di Ijok, Selangor. (FOTO: Facebook Jefri Mejan)

“Kita akan bincang secara serius isu tersebut dengan sokongan padu rakyat,” ujarnya. 

Beliau juga berkata, usaha perlu dilakukan untuk menaik taraf kehidupan penduduk di Ijok kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang perlukan bantuan.

“Begitu juga isu jalan berlopak, tiada lampu dan jalan di Bukit Cherakah yang mendap perlu diberi keutamaan. 

“Lori yang membawa muatan lebih antara faktor menyebabkan tanah di kawasan itu mudah mendap,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -