Isu calon kroni hantui DAP di DUN Sungai Puyu

Andrew diwawancara wartawan HarakahDaily.
- Advertisement -

BUTTERWORTH: Isu calon kroni di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu menjadi bualan ramai apabila bekas Adun kerusi tersebut mewarisi anaknya sebagai calon DAP di DUN berkenaan.

- Advertisement -

Phee Boon Poh yang memenangi kerusi itu selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11), kali ini menyerah kerusi tersebut kepada anaknya Syn Tze.

Berikutan itu penduduk tempatan menganggap DAP terus menyuburkan amalan nepotisme yang berligar dalam keluarga sama.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN terbabit mewakili Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Andrew Teow berkata, Phee Boon Poh sebelum ini mengumumkan bersara, namun memilih anaknya sebagai pengganti.

“Sepanjang kami berkempen di sini, penduduk setempat sangat mengalu-alukan calon wajah baharu dan bukan anak beranak.

“Mereka menolak pemimpin yang mewarisi kerusi itu dari generasi ke generasi,” katanya ketika ditemui di sini.

Berdasar perkembangan yang berlaku itu membuka ruang calon PN menjadi pilihan bagi mengelakkan isu kroni terus berleluasa.

Menurut Andrew, calon DAP terbabit tidak fasih berbahasa Melayu menyukarkan mahu membawa isu rakyat di sidang DUN sekiranya menang pada 12 Ogos ini.

“Kita terkejut juga kenapa DAP pilih calon yang tidak fasih berbahasa Melayu. Berbeza dengan ayahnya,” ujar beliau.

Disambut penduduk

Menurutnya juga kehadirannya ketika aktiviti kempen disambut baik penduduk Sungai Puyu, sedangkan majoritinya 80 peratus kaum Tionghua.

Kata beliau masyarakat Tionghua memahami situasi politik negara sekarang, di mana ada yang menyebut tidak mahu ditipu buat kali kedua.

“Petugas kempen PN berjaya memasuki lokasi yang dianggap kubu kuat DAP sebelum ini. Mereka bagi kita berkempen, berceramah. Saya agak terkejut bila mereka menerima kedatangan kita.

“Cuma mereka suka bergurau. Saya juga jelaskan penduduk bukan Islam masih boleh minum arak seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” ujarnya.

Beliau berkata, kawalan jualan di negeri terbabit kerana masyarakat bukan Islam tidak ramai. Dan ia berbeza dengan Pulau Pinang.

Penyokong DAP keliru

Andrew Teow juga berkata, ramai penyokong DAP keliru kerana sebelum ini pemimpin mereka bermati-matian menghentam Umno, namun sekarang tidak lagi.

Katanya pemimpin DAP sejak dahulu lagi mengaitkan pemimpin Umno-BN dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah laku.

Namun, katanya penyokong DAP keliru pada pilihan raya kali ini isu tersebut tidak lagi dimainkan selepas Umno dan DAP menyertai kerajaan campuran.

Janji hapus tol

Beliau juga mendakwa ramai pengundi kecewa dengan kerajaan DAP apabila gagal memansuhkan Plaza Tol Sungai Nyior seperti dijanjikan pada Pilihan Raya Umum 2008.

Malah katanya pada 2018, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berjanji akan menghapuskan tol jambatan Pulau Pinang jika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan pada PRU14.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini selepas dua kali DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, janji itu hanya tinggal janji,” katanya.

Katanya juga beliau banyak menerima rungutan penduduk yang kecewa kemudahan fasiliti di tempat-tempat rekreasi di DUN Sungai Puyu dan Bagan masih di tahap lama. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -