Dua masalah ‘puaka dan purba’ berjaya ditangani Sanusi

- Advertisement -

MENTERI Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menanggung banyak beban masalah diwariskan kerajaan era Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Namun, semua kesilapan, pengabaian, kecurangan dan penyelewengan tersebut diatasi dan ditanganinya dengan matang.

Isu ‘puaka dan purba’ terbesar yang ditinggalkan, tetapi gigih diselesaikan di era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) adalah masalah bekalan air terawat dan geran pemilikan tanah. Dua isu ini sangat menyentuh rakyat, namun begitu memberi tamparan dan mendedah pekung BN-PH.

Masalah bekalan air

Selama berpuluh tahun Kedah berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), masalah bekalan air terawat bukan sahaja gagal diselesaikan, bahkan seperti terabai. Sedangkan sepanjang dikuasai rejim BN, negeri ini menerima pinjaman dan geran berbilion ringgit daripada Kerajaan Persekutuan.

Di bawah Pakatan Harapan (PH) pula, kerajaan yang cuma bertahan dua tahun itu telah mencatat rekod mencurigakan ke atas Syarikat Air Darul Aman (SADA). Selain mengalami kerugian RM36 juta dan hutang RM149 juta, projek pembinaan atau naik taraf infrastruktur bekalan air juga tertangguh di era PH.

Sanusi pula sebaik mengambil alih, terus memberi fokus tangani masalah, antaranya menamatkan konsesi Air Utara Indah Sdn Bhd dan Taliwork Langkawi Sdn Bhd. Beliau bukan sahaja berjaya melangsaikan hutang zaman PH, malah hutang RM2.4 bilion zaman BN juga dirundingkan hingga lulus hapus kira.

Paling menakjubkan, SADA bangkit dari kerugian yang dialami sebelumnya apabila berjaya catat untung RM1 juta dalam kurang setahun (2020). Manakala pada tahun berikutnya iaitu 2021 dan 2022, berjaya mencatat untung sebelum cukai masing-masing lebih RM30 juta dan RM37 juta.

Beritahu Sanusi, sejak tahun 2008 lagi, hasil audit mendapati keuzuran infrastruktur bekalan air di Kedah ketinggalan 15 tahun ke belakang dari keperluan semasa. Sedangkan banyak kawasan baharu dibuka dan mahu dibuka bagi perumahan serta industri memerlukan kepada bekalan air terawat.

Bekalan air gagal dialir dan tidak mencukupi ini bagaikan ‘penyakit’ yang tidak diubati; menjadi ‘reba’ menyusahkan kehidupan penduduk. Inilah juga punca membantutkan potensi Kedah membangun maju, sedangkan memiliki kekayaan sumber; tanah, air, hutan, mineral dan pelbagai lagi.

Setelah meletakkan kembali tadbir urus SADA di landasan yang lebih meyakinkan, Sanusi giatkan pula usaha menangani masalah perbekalan air terawat. Sebanyak lima Loji Rawatan Air (LRA) dan sembilan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) digerakkan projek naik taraf dan pembinaan baharu oleh beliau.

Sanusi memohon peruntukan Pusat dan sedia menerima sama ada diberikan pinjaman mahupun geran; kerana bersungguhnya mahu menyelesaikan masalah itu. Bahkan menjamin sekiranya diberikan hutang, beliau bersedia bertanggungjawab dan yakin dapat menguruskan pembayaran semula dengan baik.

Beliau berjaya memperolehi pembiayaan RM931 juta bagi naik taraf lima LRA iaitu RM431 juta dalam bentuk pinjaman dan selebihnya diberi sebagai geran. Lima LRA tersebut adalah LRA Pelubang, LRA Jenun Baru, LRA Sungai Limau, LRA Bukit Selambau dan LRA Lubuk Buntar.

Sanusi juga gigih menangani masalah peninggalan lapuk BN-PH setakat tahun 2020 iaitu isu air tidak berhasil (NRW) sebesar 47-50% berbanding 29.2% kadar Nasional. Dari 1,400 juta liter sehari (MLd) yang dirawat, sekitar 700MLd hilang akibat kebocoran, sedangkan kos setiap liter adalah RM0.25 sen.

Untuk masalah ini, Sanusi merintis penyelesaian bersama penglibatan pihak swasta dalam tindakan ke atas paip berjajaran keseluruhan 13,000 kilometer. Dengan kos bermula RM931 juta, beliau menyasarkan penggantian dan pembaikan paip-paip usang akan menurunkan NRW sebanyak 5% setahun.

Hasil penjimatan diperolehi dari usaha menangani NRW itu akan menjadi bayaran kepada syarikat swasta tersebut iaitu sebanyak 70%, manakala 30% lagi kepada SADA. Penyelesaian melibatkan swasta ini adalah julung kali diadakan, yakni Kedah menjadi pendahulu berbanding negeri-negeri lain.

Masalah pemilikan tanah

Status pemilikan tanah menjadi ‘tragedi’ terbesar kepada sejarah hidup rakyat di mana isu ini bukan hanya di Kedah, tetapi juga negeri-negeri lain yang pernah diperintah BN. Paling menjadi mangsa adalah kaum Melayu, termasuk kalangan pemugar hutan belantara menjadi tanah-tanah rancangan.

Malangnya, geran tanah dijadikan modal serta umpan oleh ahli-ahli politik dan kerajaan terdahulu untuk mengikat rakyat untuk sentiasa memberi undi kepada mereka. Tiada siapa yang membela walaupun akhirnya tanah pernah diusahakan dan diduduki ‘diserah’ pemilikannya kepada orang luar atau orang asing.

Difahamkan, ketika pentadbiran era BN dan PH, mereka begitu mudah untuk meluluskan permohonan geran pemilikan tanah melibatkan pihak berkepentingan. Tetapi untuk permohonan rakyat, untuk mengadakan mesyuarat berkenaan empat atau tiga kali setahun pun sukar dilakukan.

Berbeza di bawah pentadbiran Sanusi, bukan sahaja Mesyuarat Exco berlangsung hampir setiap minggu, malah mesyuarat untuk meluluskan permohonan tanah diadakan agak kerap. Dalam kesibukan yang ada, Sanusi hingga mengheret mesyuarat berkenaan diadakan pada sebelah malam.

Hasil komitmen itulah membolehkan setakat 1,167 hari pentadbirannya, sebanyak 7,233 geran pemilikan tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) diproses dan diluluskan. Kebanyakan permohonan ‘ditimbunkan’ kepada Sanusi itu berusia lebih 30 tahun dan yang paling lama ditemuinya adalah 52 tahun.

Menurut Sanusi, beliau juga telah meminta semua Pegawai Daerah untuk memastikan rakyat di negeri ini mempunyai tanah atau tapak rumah. Termasuk mendapatkan tanah kerajaan untuk dipecah lot antara 3,000 hingga 4,000 kaki dan diberikan geran terutama rakyat yang susah tanpa mengira mereka tinggal di pekan atau perkampungan.

Kenapa Sanusi mampu selesai?

Penyelesaian tersebut bagaikan satu ‘sentuhan ajaib’ yang hakikat sebenarnya adalah kerana wibawa dan integriti tanggungjawab, selain sejiwanya Sanusi kepada rakyat. Amanah kepimpinan dilaksanakannya dengan benar tanpa ada belok-belok untuk menyelit walau sekelumit kepentingan diri dan politik.

Sebab itu Sanusi seawal mengambil alih kerajaan telah mengingatkan bahawa kini bukan lagi zaman untuk pemimpin duduk sedap, tidur lena, mahu makan dan berada di tempat selesa. Sedangkan pemimpin kerajaan di masa lalu menjadikan politik sebagai peluang meraih ‘komisen’ dan pelbagai hambatan secara mudah.

Di era BN, masalah bekalan air bukan sahaja tidak selesai, malah sejak tahun 1990 konsesi diberi kepada Air Indah Utara yang dipegang taikun ternama, Tan Sri Vincent Tan. Di era PH, tiga kali Sanusi bertanya sama ada konsesi itu akan disambung atau tidak di dalam Sidang DUN Kedah.

Tetapi langsung soalan berkenaan tidak dijawab oleh Exco daripada PKR yang memegang portfolio bekalan air tersebut iaitu Dato’ Zamri Yusof. Beliau menyifatkan Exco berkenaan tidak berani membuat keputusan disebabkan partinya menjaga kepentingan para taikun.

“Pasal apa penting untuk menamatkan AUI? AUI menguasai 63% bekalan air terawat di Kedah, dia menguasai lima loji terbesar di Kedah. Dia menguasai konsesi selama 30 tahun, telah menghisap darah daripada bekalan air 30 tahun. 63% air terawat kena beli dekat dia. 

“Kita beli dekat dia 43 sen, kita jual 50 sen, untung 7 sen, tiris setengah, rugi sebakul. Rugi. Dia rawat dia caj, ayaq itu sampai ke tak sampai kepada pengguna, kerajaan negeri tanggung. Saya tanya tiga kali, Exco, nak tamat ke nak sambung? Dia tak berani jawab. Dia takut dekat siapa? 

“PKR ini takut dekat taikun, dia takut dekat orang kaya. Hari ini jadi kerajaan kononnya nak bela orang miskin. Mereka ini pembela orang kaya. Di peringkat negeri, peringkat Persekutuan, mereka bukan pembela orang miskin, mereka berkawan dengan orang kaya, pasal itu ketua dia kempen pilihan raya naik helikopter,” bidasnya.

Dalam isu tanah pula terdapat kes seperti Jerai International Park, 99 East Langkawi dan banyak lagi yang diserahkan kepada kepentingan tertentu, selain menyebabkan kerugian atau kerajaan negeri disaman.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -