PN Pulau Pinang kemuka 8 teras, 33 tawaran

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Manifesto dikemukakan PERIKATAN NASIONAL (PN) Pulau Pinang menggariskan lapan teras dan 33 tawaran yang memberi manfaat kepada 1.7 juta penduduk Pulau Pinang.

Pengerusi PN Pulau Pinang, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, manifesto yang ditawarkan lebih holistik dan pragmatik.

- Advertisement -

Kata Dominic, tumpuan utama PN Pulau Pinang dalam manifesto itu memfokuskan terhadap usaha menangani kos sara hidup rakyat dan memacu keutuhan ekonomi.

“Selain itu, teras menyentuh tentang pemilikan rumah mampu milik. Memang anak-anak Pulau Pinang tidak semua mampu sediakan rumah masing-masing.

“Teras seterusnya adalah menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan dan pemeliharaan alam, memperkukuhkan jaringan pengangkutan, memacu sektor pelancongan dan memupuk politik yang mantap,” katanya pada pembentangan Manifesto PN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi menjayakan pembangunan dan kesejahteraan Pulau Pinang, PN akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi lepasan sekolah, graduan universiti dan penganggur.

Sehubungan itu kata Dominic, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan sebagai subsidi kepada syarikat-syarikat GLC negeri dan syarikat swasta di Pulau Pinang untuk menggalakkan penglibatan anak muda dalam perindustrian.

Katanya, PN akan menyediakan geran modal bernilai RM10 juta kepada anak Pulau Pinang yang terlibat dengan aktiviti keusahawanan mikro kecil dan sederhana.

“Tidak dilupakan kepada golongan nelayan berlesen yang setiap hari menggadai nyawa meredah ombak laut, sebanyak RM5 juta disediakan sebagai insentif bantuan pukat dan enjin bot,” katanya.

Menurutnya, PN akan mewujudkan dasar mesra untuk sektor penjajaan makanan dengan lesen penjaja akan dikecualikan bagi memastikan usaha Pulau Pinang menjadi negeri yang terkenal sebagai ‘food hunting’ dilestarikan bertaraf antarabangsa.

Bagi pendidikan anak muda sebanyak RM1,200 diberikan kepada semua anak Pulau Pinang yang menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Bagi pelajar yang mendaftar masuk ke matrikulasi dan tingkatan enam akan diberi sebanyak RM500 setiap orang.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM14 juta disediakan untuk sekolah aliran agama, termasuk sekolah agama rakyat, sekolah mubaligh, sekolah Cina. Sejajar dengan hasrat ini, RM1 juta akan disediakan sebagai dana prihatin PIBG,” katanya.

Umumnya lagi, sejumlah RM60 juta diperuntukkan untuk bantuan mutiara prihatin meliputi warga emas, golongan kurang upaya, ibu tunggal, bantuan teksi dan bas sekolah.

Selain itu, katanya sejumlah RM1,500 untuk skim khairat kematian dan pengurusan jenazah, mewujudkan kuota perumahan mesra komuniti setempat, membina rumah rakyat bawah RM100,000, menyediakan ujian pemeriksaan kesihatan percuma. Hasrat PN juga ingin membangunkan Pulau Pinang sebagai bandar perubatan.

Peruntukan sejumlah RM5 juta disediakan untuk menaik taraf sistem takungan air dan sistem penuaian air berteknologi tinggi.

“Bagi isu kesesakan lalu lintas, PN akan mengkaji semula pelan induk pengangkutan Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan rakyat mengikut garis masa ditetapkan.

“PN akan perkenalkan pengangkutan awam alternatif kepada penduduk Pulau Pinang seperti autonomous real rapid transit (ART) yang akan bantu kurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Pendirian PN juga katanya tetap sama iaitu membantah projek tambak laut di Selatan Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -