Apa salah PM guna helikopter?

- Advertisement -

APA pihak yang mempertahankan tindakan Perdana Menteri guna helikopter untuk ke Kedah baru-baru ini. Bahkan Perdana Menteri sendiri mempertahankan tindakannya. Perdana Menteri kata – ditujukan kepada Menteri Besar Kedah:

“Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa? Kerajaan punya, bukan aku punya hang tak boleh pakai, Perdana Menteri boleh pakai!” 

Betul ke tak salah? 

Kita tengok dulu apa tujuan Anwar ke Kedah pada petang dan malam tersebut:

1. Karnival Segalanya Felda di Felda Teloi Timur – kempen platform kerajaan.

2. Ceramah PH-BN di Jitra – Kempen platform parti.

3. Ceramah Perpaduan Alor Setar di Alor Mengkudu, Alor Setar – Kempen platform parti.

4. Ceramah PH-BN Jelajah Perpaduan Madani Di Padang Pasar Malam Keda Kupang – kempen platform parti.

Mungkin alasan yang digunakan ialah program itu program kerajaan. Tapi nampaknya hanya satu program kerajaan, iaitu program Felda. Tapi bila ikuti ucapan Perdana Menteri, isinya adalah untuk minta warga Felda sokong PH-BN dalam PRN nanti. Yang lain-lain memang jelas program parti. Semuanya untuk kempen PRN.

Pertamanya, guna helikopter kerajaan untuk kempen pilihan raya adalah salah guna harta kerajaan – milik rakyat – untuk tujuan parti. Kalau penjawat awam, dah lama kena tindakan disiplin. Pemegang jawatan politik mungkin terlepas. Tapi, perbelanjaan itu tetap dari duit rakyat. 

Keduanya, prinsip pilihan raya demokratik – mestilah ada ‘a level playing field’ – persaingan yang seimbang. Barulah disebut pilihan raya bersih dan adil. Nampaknya PH-BN menggunakan jentera kerajaan dalam persaingan demokrasi. 

Ketiga, campur aduk program kerajaan dan program parti. Program kerajaan digunakan untuk tujuan kempen. Pegawai kerajaan dikerah untuk menjayakan. Perbelanjaan kerajaan digunakan. Bahkan dalam program Felda dilaporkan peserta diangkut sekurang-kurangnya dengan 20 bas.

Keempat, sebelum jadi Perdana Menteri beliau berjanji tidak akan guna aset kerajaan untuk kempen… Lepas jadi Perdana Menteri, lain pula jadinya.

Tertarik pula dengan komen NGO Bersih berkaitan isu ini:

“Bagi perjalanan tambahan untuk berkempen selepas tugasan kerajaan, Perdana Menteri dan menteri-menteri ini juga perlu membayar secara pro-rata kos berlebihan seperti kos minyak helikopter atau kenderaan. Demi prinsip amanah, kos-kos ini hendaklah diisytiharkan secara terbuka untuk pemantauan orang awam.”

“Bersih sentiasa cakna dan sedar bahawa kita tidak boleh sepenuhnya menghalang penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen namun ahli politik yang mempunyai kelebihan ini kerana amanah yang diberikan rakyat kepada mereka perlu sentiasa rendah diri serta tidak berlagak dan menunjuk-nunjuk seolah-olah mereka yang membeli jentera tersebut menggunakan duit poket mereka. Sikap angkuh dan bongkak seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri mungkin akan memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen.”

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 6/8/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid023tj3m4uEccVAZc2DPrK4nh5qkwi2enBViRxtfderhSxpfppT4qr3SDoLtzbYqSHAl&id=1139212551&mibextid=CDWPTG 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -