Ustaz Fadhli bersama gelombang anak muda

Cikgu Alias (kanan) bersama Mohd Fadhli berbincang dengan petugas pemuda Dun Rantau Abang.
- Advertisement -

DUNGUN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Alias Harun yakin dengan kemampuan Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang bertanding di Dun itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

- Advertisement -

Katanya, pemilihan Mohd Fadhli selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun tepat pada masanya dalam suasana gelombang kebangkitan anak muda sekarang.

“Saya yakin dengan pemilihan pertama sekali dalam DUN Rantau Abang ini, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkifli tepat pada masanya untuk dia bersama-sama dengan gelombang anak muda,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, beliau melihat gelombang anak muda itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini yang telah mengubah landskap politik negara.

Sehubungan itu, beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Alias mengharapkan anak muda meneruskan dan menterjemah situasi itu pada PRN 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya jentera dan petugas PAS dan PERIKATAN NASIONAL tidak memandang mudah dengan keadaan itu susulan Perdana Menteri dilihat turun padang ke pusat-pusat pengajian tinggi bertemu dengan anak-anak muda.

“Kita tahu agenda dia dan kita akan teruskan agenda kita dengan kita pun bersama-sama dekati anak-anak muda

“Dengan pemilihan Ustaz Fadhli Rahmi Zulkifli ini saya rasa memang sesuailah dan saya yakin dengan dia, sebab pengalaman sama ada dalam parti dengan pengurusan pentadbiran dengan Petronas banyak benda yang boleh dilaksanakan di dalam politik ini,” katanya yang mula memenangi kerusi Dun Rantau Abang pada PRU13.

Justeru, beliau menyeru terutama kepada para perantau dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang ada di luar supaya cakna dengan satu undi pada pilihan raya adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Jadi kita menyerulah bukan sahaja yang berada di kampung atau dalam Dun Rantau Abang ini tetapi kita juga menyeru anak-anak muda di perantauan ataupun sesiapa sahaja yang berada di perantauan balik untuk menunaikan tanggungjawab dan kita mengharapkan mereka memilih PAS dalam gelombang yang ada ini bersama dengan PERIKATAN NASIONAL,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Rantau Abang.

Cikgu Harun dan Ustaz Mohd Fadhli bersama keluarga besar Pak Zaki di Kampung Baru Kuala Abang.

Cikgu Alias yang mendapat 8,964 undi menewaskan penyandang Dun Rantau Abang daripada BN, Datuk Za’abar Mohd Adib dan calon Bebas, Mazlan Harun dengan majoriti 141 undi pada PRU13.

Pada PRU14 lalu, beliau memperolehi 12,287 undi berjaya mempertahankan kerusi Dun tersebut dengan majoriti 4,452 undi menewaskan calon BN dan PKR.

Sementara itu, Mohd Fadhli berdepan dengan calon BN, Mohd Asri Mohamad di Dun Rantau Abang yang mempunyai 33,394 pengundi pada PRN ini. – HARAKAHDAILY 5/8/2023

- Advertisement -