York Fire bakar hangus pokok Joshua 

Sebuah kapal terbang pemadam api terbang di atas kebakaran hutan akibat York Fire di Kawasan Simpanan Negara Mojave, di San Bernardino County, California pada 29 Julai 2023. (FOTO: Califire/AP)
- Advertisement -

CALIFORNIA: Kebakaran hutan terbesar di California setakat tahun ini telah memusnahkan ekosistem pokok Joshua yang berharga, simbol budaya terkenal yang pernah menjadi sumber terpenting buat Orang Asli negara itu untuk dijadikan bakul dan sandal; dan masih merupakan bahagian penting dalam ekosistem Gurun Mojave.

Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Calfire) dalam kenyataannya berkata, kebakaran hutan yang dikenali sebagai ‘York Fire’ itu telah memusnahkan kira-kira 38,000 hektar San Bernardino County, California, dan  Clark County, Nevada, iaitu kawasan berhampiran sempadan California-Nevada dan hanya sebanyak 34 peratus berjaya dikawal setakat Khamis (3 Ogos).

- Advertisement -

Kebakaran itu telah merosakkan kepelbagaian ekosistem dan memusnahkan sejumlah pokok Joshua yang tidak diketahui jumlahnya, yang turut mendapat menempa kemasyhuran  di peringkat antarabangsa apabila dijadikan judul album kumpulan U2, The Joshua Tree pada  tahun 1987, lapor Reuters.

Malapetaka itu turut menghanguskan Kawasan Simpanan Negara Mojave (MNP) tetapi tidak melarat sehingga ke Taman Negara Joshua Tree, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari lokasi kejadian dan menerima kira-kira tiga juta pengunjung setiap tahun. 

Ekosistem pokok Joshua di Kawasan Simpanan Negara Mojave (MNP) sedang dijilat api. (FOTO: The Desert Sun)

Perkhidmatan Taman Negara AS dalam kenyataannya menegaskan bahawa York Fire adalah yang terbesar pernah berlaku di kawasan itu.

“Jelas terdapat kerosakan yang besar pada landskap. .. Ia mirip rupa bulan yang terbakar,” kata Mike Gauthier, penguasa MNP.

“Sesetengah daripadanya (pokok Joshua) akan musnah sepenuhnya. Joshua Tree bukanlah spesies yang paling tahan lama, jadi ia akan mati,” tambahnya.

Keadaan selepas kawasan ekosistem pokok Joshua yang hangus dijilat api. (FOTO:Calfire/AP)

Terdahulu pokok-pokok Joshua dilindungi oleh negeri California dan telah menangkap imaginasi orang ramai, sebahagiannya kerana ciri-ciri keunikan daunnya yang runcing tajam dan kulit kayu berbulu.

Ramai pemerhati telah menyatakan tentang persamaan pokok Joshua dengan pokok Truffula  yang digambarkan secara fiksyen dalam buku karya Dr Seuss pada 1971 berjudul, The Lorax.

“Dikenali secara saintifik sebagai Yucca brevifolia, ia adalah daripada ahli keluarga Agave,” ujar kenyataan Perkhidmatan Taman Negara AS. – HARAKAHDAILY 4/8/2023

- Advertisement -