PN kekal di Pedu, fasa ketiga jalan selesai September

Paksu Di memberi jaminan, proses pembinaan jalan raya baharu fasa ketiga di kampung-kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu akan dapat diselesaikan menjelang September ini jika PERIKATAN NASIONAL berjaya mengekalkan kedudukan di DUN tersebut.
- Advertisement -

PADANG TERAP: Jalan raya di kawasan kampung telah berjaya dinaiktaraf selepas memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Penyandang DUN tersebut, Mohd Radzi Md Amin berkata, pihaknya berusaha membina jalan baharu di kampung-kampung termasuk kampung yang dianaktirikan sebelum ini.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, kita dapat membina jalan raya baharu di kampung-kampung yang sebelum ini dianaktirikan.

“Insya-Allah, jika kita dapat kekalkan kerajaan negeri Kedah, proses pembinaan jalan baharu fasa ketiga ini iaitu pada September depan kita dapat selesaikan,” katanya ketika ditemui di Markas Besar Jentera Pilihan Raya DUN Pedu, di sini, hari ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Paksu Di berkata, perbezaan parti politik menyebabkan terdapat jalan di kampung-kampung yang dianaktirikan.

“Apabila saya dipilih pada pilihan raya lepas, kita layan semua rakyat sama tanpa mengira parti.

“Pegangan parti politik itu cerita lain, semua rakyat kita layan sama semuanya berhak mendapat kemudahan yang disediakan kerajaan,” ujarnya lagi.

Paksu dI berharap dapat membawa lebih banyak pembangunan khususnya di Pekan Naka yang disifatkan agak ketinggalan.

“Pak Su tak mahu janji bulan bintang tetapi kita akan usaha untuk mensejahterakan DUN Pedu kerana kita lihat infrastruktur di sini kurang baik lagi.

“Contoh di Pekan Naka ini, semua bangunan yang ada kebanyakannya hak individu dan inisiatif mereka untuk membina bangunan tersebut kecuali Tapak Pekan Nat yang dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA),” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -