Kehadiran Anthony Loke mudahkan kempen PN

Dato’ Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mengucapkan selamat datang kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ke negeri ini yang akan memudahkan gerak kerja kempen parti itu dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, kehadiran Loke sekali gus mengiyakan penjelasan PAS dan PN tentang ‘undi BN dapat DAP’.

“Saya lihat pemimpin dan calon-calon Umno/BN begitu gembira dan teruja sekali untuk menyambut kedatangan pemimpin utama DAP ini.

“Banyak sekali banner yang dipasang di seluruh bandar Kuala Terengganu,” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, oleh kerana DAP ialah parti tunggal dalam gabungan PH-BN yang mempunyai kerusi terbanyak, barang kali kerana itulah pemimpin Umno begitu ghairah menyambut kehadiran Loke.

“Kehadiran beliau ke Terengganu sekali gus mengiyakan dan memudahkan penjelasan kita tentang ‘undi BN dapat DAP’.

“Sebelum ini bila kita sebut undi BN percuma DAP, ada penyokong tegar Umno/BN yang marah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Beliau berkatas, sepatutnya mereka  tidak perlu marah kerana itulah hakikat kerjasama politik antara PH-BN sekarang ini.

Dr Alias juga turut berkongsi trend menarik di media sosial dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, walaupun banyak bahan kempen yang berpengaruh telah dihasilkan oleh jentera penerangan parti, namun kandungan kempen yang dihasilkan oleh pihak bukan parti iaitu orang awam adalah lebih banyak dan lebih mendominasi terutamanya golongan berumur 20 hingga 39 tahun.

“Selain situasi ini amat membantu gerak-kerja kempen PAS, ia juga menjadi petanda yang baik bahawa PAS semakin mendapat tempat di hati pengundi dan saya optimis ia akan diterjemahkan menerusi kertas undi nanti,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -