Sanusi usaha bebaskan Kedah dari paksaan jadi miskin

- Advertisement -

POKOK SENA: Kedah sejak sekian lama telah dipaksa menjadi miskin apabila diarah untuk mewartakan tanah di negeri ini sekali gus berkorban bagi tujuan sekuriti makanan negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, untuk memenuhi tujuan tersebut, Kedah dikehendaki mengekalkan sektor yang memberi pulangan rendah dari segi ekonomi.

Jelas beliau, apabila berbuat demikian, maka negeri ini tidak boleh membangunkan tanahnya dengan keperluan lain termasuk sektor-sektor komersial yang mendatangkan pendapatan.

Menurutnya, tiada sawah padi yang berada di tanah rata di dunia ini sebagaimana di Kedah, namun ia pada bila-bila masa boleh dibangunkan dengan infrastruktur dan komersial.

Bagaimanapun beritahunya, tanah negeri ini yang cukup strategik seluas 132,000 hektar telah diarah untuk diwartakan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan tidak dibangunkan bagi kegiatan lain.

“Pasai apa miskin? (Sebab) Cukai tanah untuk sawah padi adalah kategori cukai tanah terendah di dunia. Satu meter persegi 2 kupang (20 sen). (Sedangkan) Cukai tanah untuk tanah komersial 1 meter persegi Alor Setar ni beringgit-ringgitlah cukai tanah. 

“Daripada keseluruhan keluasan sawah padi yang kita simpan, kita hanya boleh kutip cukai tanah RM2.5 juta saja setahun. Kalau kita ‘convert’ semua tanah ni jadi kawasan komersial, kita akan dapat kutip cukai tanah saja RM1.7 bilion.

“Itulah kata kita diarah menjadi miskin,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Sembang Santai DUN Derga Bersama MB Kedah di UDM Alor Segamat (Flat Alor Malai), di sini petang tadi.

Sambungnya, Kedah telah berkorban untuk negara ini dengan membekalkan 43 peratus bekalan beras negara dan pewartaan itu wajar dibayar kerana tidak menukarkan tanah kepada komersial.

Kata Sanusi, negeri ini meminta sebanyak 10 peratus sahaja iaitu RM170 juta setahun bagi tujuan mengekalkan tanah sawah padi tersebut, di mana ia turut melibatkan komponen lain.

“Kita bina terusan. Kita ada sungai, kita simpan tanah untuk bina empangan. Selain pada empangan kita simpan lagi tanah hutan untuk tadahan air tanah. Hutan saja 341,000 hektar. 

“Empangan pula puluh-puluh kilometer persegi untuk takung ayaq (air). Lalu kut sungai. Mai sawah padi,” ujarnya turut memohon RM100 juta bagi pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air.

Jamin beliau, bayaran pampasan yang dituntut daripada Kerajaan Persekutuan itu akan membolehkan Kedah dikekalkan sebagai Jelapang Padi Malaysia dan pusat bekalan makanan negara.

Pun begitu maklumnya, negeri ini juga sedang giat membangunkan sektor lain bagi tujuan ekonomi, antaranya melibatkan lapan projek berimpak tinggi yang sebahagiannya telah berjalan.

Antaranya sebut beliau, adalah projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang kini dihadapkan dengan pelbagai alasan oleh Kerajaan Pusat untuk menghalang ia daripada direalisasikan.

“Semua halangan yang dibuat untuk menghalang KXP adalah perkara-perkara yang tidak masuk akal. Satu-satunya sebab kenapa dia tak boleh nak sokong KXP adalah (kerana) DAP Pulau Pinang bantah projek itu.

“Jadi Perdana Menteri ini adalah Perdana Menteri mewakili DAP kerana dia tak suka KXP. Pulau Pinang bantah daripada mula-mula cadang, sampai la dia bantah. DAP ni yang sedang berkuasa di negara kita ni.

“Walaupun dia tak bercakap, walaupun tak bersuara, tapi kuasa 40 kerusi Parlimen DAP dalam Pakatan Harapan menentukan dasar Perdana Menteri. Pasal itu Perdana Menteri tak bagi kita buat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -