Rakyat Selangor perlu hati-hati pilih pemimpin

- Advertisement -

KLANG: Rakyat Selangor perlu berhati-hati membuat pilihan pada 12 Ogos ini dengan menolak Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, perkara ini penting kerana pemimpin yang dipilih akan menentukan masa hadapan negeri Selangor.

- Advertisement -

“Pemimpin bukan sekadar pandai bercakap, sebaliknya mampu buat kerja, lebih-lebih lagi setelah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Di tangan mereka, dasar dan hala tuju yang baik untuk rakyat dan Selangor pada masa akan datang,” katanya ketika Jelajah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) ke Selangor di Bukit Kapar, malam tadi.

Ucap utama program disampaikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashari dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Dr Halimah berkata, kerajaan Selangor mahu mengisytiharkan Klang sebagai bandar raya pada November hadapan, sedangkan isu rakyat terutama pelupusan sampah dan infrastruktur perlu diselesaikan.

“Bagaimana hendak menjadikan Klang sebagai sebuah bandar raya jika masalah sampah pun tidak boleh diselesaikan. Begitu juga isu infrastruktur masih tidak okay dan jalan raya di kawasan bandar masih lagi gelap,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2023

- Advertisement -