Hasrat menang 32-0 ada asas

Arifin menziarahi mangsa kemalangan di Kampung Banggol Lalang.
- Advertisement -

MARANG: Hasrat PAS dan PERIKATAN NASIONAL Terengganu untuk memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos sememangnya berasas.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ini berdasarkan gabungan antara muka baharu, calon sebelum ini dan penyandang serta kerjasama yang erat dengan Bersatu yang meletakkan bertanding kali ini.

“Jadi berasaskan hari penamaan calon, alhamdulillah saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana calon-calon daripada PERIKATAN NASIONAL (PN), PAS dan Bersatu telah berjaya mengemukakan borang pencalonan, dalam erti kata lain telah mengemukakan calon di kesemua Dun dan tiada apa-apa masalah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, selain penyandang, mereka yang dahulu pernah bertanding tetapi tidak menang dilantik sebagai penyelaras Dun yang bertindak semacam Adun.

“Jadi mereka bekerja selama lima tahun walaupun tidak menang, kita kekalkan beberapa orang dan sebahagian lagi pendatang baharu,” katanya.

Tambahnya, antara calon baharu ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri merangkap Ketua Pemuda PAS Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli di Dun Rantau Abang dan Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi di Dun Sura.

Menurutnya, mereka menggantikan Adun sebelum ini iaitu Alias Harun di Dun Rantau Abang dan Wan Hapandi Wan Nik di Dun yang telah menunjukkan prestasi kerja yang amat baik.

“Kita mahu melihat sesuatu yang baharu dengan generasi baharu mengambil alih sebahagian kepimpinan kerajaan insya-Allah di bawah pentadbiran nanti, Exco yang bakal dilantik dan juga Adun-Adun, ini sebagai contoh.

“Jadi jalinan ini pada kita adalah suatu jalinan yang sangat baik, jadi apa yang kita telah uar-uarkan, yang kita azam 32-0 dalam program Teguh Pertahan kita memang ada asas,” ujarnya yang bertanding mempertahankan Dun Alur Limbat.

Mengenai lima kerusi yang ditandingi calon Bersatu, beliau menjelaskan perbincangan peringkat awal adalah untuk menentukan Dun berkenaan.

“Sebagai contoh kita telah bersama dengan PN, kita ada PAS dan juga Bersatu. Jadi Bersatu ada lima kerusi, alhamdulillah sejak daripada awal kita mengadakan perbincangan demi perbincangan sebenarnya.

“Pertama sekali menentukan di manakah lima kerusi. Ia berbeza dengan Kedah. Kalau Kedah kerusi Bersatu memang sudah ada, tetapi di Terengganu ini solid PAS lawan dengan Umno dahulu 32 Dun,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau lagi, PAS ‘mengorbankan’ lima kerusi yang ditanding pada PRU14 lalu untuk diberikan kepada Bersatu di mana jentera PAS di kawasan berkenaan sangat kuat.

“Kalau istilah kita terpaksa mengorbankan kerusi, tapi alhamdulillah walaupun kita terpaksa mengorbankan kerusi contoh di Telemong, Kijal, Hulu Besut, Permaisuri dan Seberang Takir.

“Sebenarnya memang kelima-lima Dun ini semangat daripada jentera PAS sangat kuat untuk meletakkan calon PAS. Tetapi apabila pimpinan menyatakan kerusi-kerusi ini kena bagi kepada rakan kita kalau nak bersaing untuk menang di peringkat negeri di lima negeri lagi, maka kita terpaksa korbankan kerusi kita.

“Alhamdulillah, dibuktikan pada hari penamaan calon apabila kehadiran penyokong-penyokong PAS, kehadiran pimpinan Dun seperti di Dun Kijal misalnya oleh Ustaz Hazri, dia ke depan, dia jadi pemain utama pada hari penamaan calon, Haji Mohd Fadhil Wahab (Dun Seberang Takir).

Menurutnya, jika Bersatu tidak bertanding di kedua-dua Dun tersebut, Hazri dan Fadhil akan menjadi calon.

“Alhamdulillah ini satu perkembangan yang sangat baik, jadi orang kata landasan untuk kita dapat 32-0, insya-Allah masih berada di atas landasan,” ujarnya yang juga Exco kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 31/7/2023

- Advertisement -