Siasat tujuan bantuan khas ketika kempen PRN

- Advertisement -

KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan berhubung pengumuman pemberian bantuan khas oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kepada kakitangan awam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, ini bagi menentukan matlamat dan tujuan pemberian bantuan khas itu.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan yang sama perlu dilaksanakan seperti petisyen Umno Terengganu terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim.

Pembatalan kemenangan itu, katanya kerana mahkamah menyifatkan ada sogokan pengundi oleh kerajaan negeri ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Sekarang Perdana Menteri pula mengumum pemberian insentif kepada kakitangan kerajaan, apa tujuan dan matlamatnya.

“Semua orang tahu matlamatnya untuk PRN. Oleh itu, SPRM perlu siasat seperti dilakukan di Kuala Terengganu dan beberapa Parlimen lain,” katanya selepas program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya PN Perlis di Kompleks PAS (KOMPAS) di sini, semalam.

Kerajaan PH-BN baru-baru ini mengumumkan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, bantuan itu akan disalurkan dalam tempoh dua minggu kepada 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara.

Bagaimanapun Mohd Shukri berkata, kebanyakan rakyat, terutama anak muda sudah bijak membuat penilaian berhubung pemberian bantuan khas itu.

“Apa yang dipertikaikan ialah kaedah dan waktu pemberian. Rakyat sudah cerdik dan boleh menilai sama ada sumbangan itu untuk pilihan raya atau sebaliknya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -