KANGAR: Kerajaan negeri Perlis tetap meneruskan pelaburan lama yang diusahakan kerajaan negeri sebelum ini jika dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, antara manfaat tersebut seperti menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat tempatan.
“Benda lama kalau elok kita teruskan, takkan kalau kerajaan sebelum ini dah siap buat kajian tertentu semua dan berhabis banyak duit tapi bila tiba-tiba kita pula perintah (negeri), kita nak hentikan.
“Kita tak mahu buat macam itu sebab kalau benda elok kita mesti laksanakan demi kepentingan rakyat.
“Ibaratnya macam kalau main bola sepak, permainan itu elok macam mana pun tapi bila pihak lain yang tolong jaringkan gol maka orang akan memuji mereka yang bagi kemenangan itu,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis bersama solidariti untuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks PAS (KOMPAS) di sini, semalam.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang gesaan disuarakan oleh Badan Perhubungan Umno negeri berhubung pelaburan RM2.5 bilion yang dibawa masuk ke negeri tersebut.
Menurutnya, beliau tidak perlu menjawab gesaan disuarakan oleh pihak terlibat yang cuba membangkitkan polemik berhubung perkara demikian.
“Ada juga media minta saya ulas mengenai pelaburan RM2.5 bilion itu selepas pihak terlibat membuat gesaan untuk saya perincikan (jumlah pelaburan masuk) tapi saya kata saya tak mau jawab,” ujarnya.
Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), tambah beliau, sememangnya mempunyai maklumat itu.
“Mmereka maklumkan kepada saya, maka saya umumkan. Kalau nak tahu cari sendirilah (perincian pelaburan). Dia sapa (untuk saya jawab), saya tak kenal pun.
“Jumlah nilai yang dinyatakan beliau sebelum ini adalah merangkumi pelaburan baharu dan lama yang diteruskan demi kebaikan rakyat Perlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023