PN Pulau Pinang sasar 15 kerusi majoriti Melayu

Abdul Razib Abdul Rahman
- Advertisement -

TASEK GELUGOR: PERIKATAN NASIONAL (PN) mampu menawan 15 kerusi majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang ekoran pertembungan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahman berkata, kekuatan PN bukan hanya berdasarkan kelebihan calon, sebaliknya penolakan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Katanya, penggabungan Umno dan PH memberi kelebihan kepada PN kerana banyak isu yang menggambarkan pertembungan keras antara PH dan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Isu itu masih lagi menghantui pengundi menyebabkan rakyat, termasuk di Tasek Gelugor, tidak yakin lagi terhadap PH dan BN,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon PN di Pusat Penamaan Calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Mara (IKM), hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Ustazah Maziah Khamis dan ADUN Trong, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR) mengumumkan enam calon layak bertanding untuk kerusi DUN Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar yang masing-masing membabittkan pertembungan dua penjuru antara PN dengan PH-BN.

Calon PN DUN Permatang Berangan, iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh bertemu Nor Hafizah Othman (PH-BN).

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berdepan calon PH-BN, Shaik Hussein Mydin di DUN Sungai Dua, manakala Azmi Alang berentap dengan calon PH-BN, Mohsin Md Sharif di Telok Ayer Tawar.

SPR menetapkan hari pengundian awal pada 8 Ogos dan 12 Ogos hari pengundian PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang bakal menyaksikan perebutan 40 kerusi DUN. PN menampilkan 10 calon dari PAS, Bersatu (11) dan Gerakan (19). – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -