Penasihat Undang-undang Negeri pun disiasat?

Isu litar lumba di Sungai Petani

- Advertisement -

KEMUDAHAN litar lumba permotoran untuk anak muda Kedah hangat diperkatakan sejak 10 tahun lalu. 

Malah rancangan tersebut turut dimasukkan ke dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Projek litar lumba ini diumumkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Alor Setar pada 2013.

Pada 2014, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan bahawa Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri bersetuju membangunkan litar itu. 

Ia melibatkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar di Sungai Petani yang boleh memberi manfaat kepada peminat-peminat sukan permotoran termasuk motocross untuk mempamerkan aksi mereka. Ia akan dibangunkan di Ambangan Heights.

Ikut pelan asal, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) lulus RM30 juta, cukup untuk pembinaan litar lumba motor biasa. Tapi dilaporkan, pelan asal telah diubah kepada model Sepang International Circuit yang berjumlah RM73 juta. 

KBS enggan tambah lagi RM43 juta. Sebab tu litar lumba di zaman BN, diteruskan di zaman PH (Mukhriz jadi Menteri Besar kali kedua) juga gagal.

Apabila DS Sanusi naik jadi Menteri Besar, dia memulakan kembali projek litar lumba dengan pembiayaan oleh pihak swasta. Sekarang, fasa pertama iaitu pembangunan tapak projek sedang berjalan dijangka siap akhir Julai atau awal Ogos 2023. 

Sekarang BN jadi rakan persekongkolan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Pusat. 

Pemimpin-pemimpin PH-BN sedang gigih menyerang Menteri Besar Sanusi hanya kerana terlewat sikit dari janji asal Menteri Besar untuk menyiapkan dalam masa 6 bulan. 

Tergendala sikit biasalah lebih-lebih lagi di zaman kegawatan ekonomi akibat kegagalan kerajaan madani mengurus ekonomi negara. 

Yang penting projek telah dimulakan dan sedang berjalan. Namun ‘terlewat 6 bulan’ itu telah dijadikan rujukan oleh PH-BN untuk melaporkan kepada SPRM. 

Pemimpin kerajaan madani mengunakan kedudukan jawatan mereka menekan SPRM supaya menyiasat Kerajaan Negeri Kedah. 

Akibat tekanan politik, SPRM terpaksa menyiasat semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri. 

Memang jelas tiada kes penyelewengan, tapi konspirasi jahat mereka ialah nak gambarkan ‘ada penyelewengan’. 

Fitnah itu sedang dijaja oleh pendukung mereka. Konspirasi jahat ini setara dengan apa yang dilakukan oleh regim 90-an untuk menjatuhkan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. 

Dahulu mereka menentang kezaliman pemerintah kerana menekan musuh politik menggunakan alat kerajaan, bila naik jadi kerajaan kini, mereka melakukan kezaliman yang sama.

Perangai jahat mereka ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat yang berkata, “Ini kerajaan kami ikut suka kami.”

Sepatutnya pemimpin-pemimpin BN dan PH merasa malu, projek yang diumumkan kira-kira 10 tahun lalu, telah melewati zaman BN dan PH jadi kerajaan, namun gagal disiapkan. Hanya dapat dimulakan zaman Sanusi jadi Menteri Besar.

ANAK MUDA PEMERHATI POLITIK
Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 29/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -