PRN: Mesti ingat iktibar dari sejarah Perang Hunain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seluruh pimpinan, ahli dan penyokong PAS diingatkan kepada iktibar peristiwa Perang Hunain yang berlaku di zaman Rasulullah SAW untuk menghadapi PRN enam negeri kali ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata Allah SWT merakamkan kisah itu di dalam al-Quran dalam menyentuh sikap yakin yang keterlaluan hingga membawa kepada kekalahan.

Timbalan Menteri Besar itu juga menasihati semua agar tidak terleka setelah diberi kemenangan besar pada PRU15 lalu, sebaliknya terus bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan PRN.

Beliau membentangkan kembali kisah tersebut ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Calon DUN PAS Negeri Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

“Dalam peperangan Hunain yang berlaku selepas daripada pembukaan Kota Makkah tentera Islam begitu ramai keluar berperang dengan musuh pada waktu itu sehingga ada sebahagian daripada tentera Islam merasa terlalu gembira.

“Dan merasa amat yakin tidak mungkin kita akan kalah kerana pasukan kita ramai melebihi daripada biasa. Tetapi dalam peristiwa ini tentera Islam diuji dengan kekalahan pada peringkat awalnya sehingga pecah peperangan itu dan tentera Islam bertempiaran.

“Jadi ini satu pengajaran besar yang kita kena letak dalam kepala kita semua dalam menghadapi pilihan raya yang akan kita hadapi minggu depan ini. Kita kena ada keyakinan kepada Allah. Tetapi dalam masa yang sama jangan terlalu yakin.

“Sehingga kita melupakan ketentuan Allah SWT dan melalaikan kita daripada melaksanakan perancangan-perancangan, gerak kerja, strategi dan juga program-program yang kita telah susun,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -